Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    ICC buka semula siasatan ‘perang dadah’ oleh Filipina

    MANILA, 27 JAN – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan menyambung semula penyiasatan terhadap ‘perang dadah’ oleh Filipina yang menyebabkan beribu-ribu orang terkorban dengan menyatakan bahawa usaha kerajaan untuk meneliti dakwaan salah guna kuasa tidak mencukupi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

    ICC menggantung siasatan pada November 2021 atas permintaan kerajaan Filipina yang memaklumkan pihak berkuasa tempatan sedang meneliti sekurang-kurangnya 52 kes daripada ribuan yang terbunuh dalam perang dadah.

    “Berikutan analisis teliti ke atas maklumat yang disediakan oleh Filipina, ICC tidak berpuas hati terhadap tahap siasatan dijalankan oleh negara itu yang mewajarkan penangguhan siasatan mahkamah berdasarkan prinsip saling melengkapi,” memetik kenyataan mahkamah, kelmarin.

    ICC mendapati ‘pelbagai inisiatif dan prosiding domestik yang dinilai secara kolektif, tidak mencapai tahap penyiasatan yang nyata, konkrit dan progresif dengan cara yang mencerminkan penyiasatan oleh mahkamah’.

    Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia Phil Robertson hari ini menyambut baik keputusan itu kerana hanya ICC menawarkan laluan ke hadapan untuk mengisi kekosongan akaun-tabiliti memandangkan kerajaan tidak melakukan usaha sebenar atau tulen.

    “Siasatan ICC di Filipina merupakan satu-satunya usaha yang boleh dipercayai untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka akibat ‘perang melawan dadah’ oleh bekas Presiden Rodrigo Duterte,” katanya.

    Perang terhadap dadah dilancarkan oleh Duterte selepas beliau dipilih sebagai presiden pada 2016 atas platform antijenayah.

    Polis berkata lebih 6,000 orang terbunuh dalam operasi menentang dadah haram semasa pentadbiran Duterte. Namun kumpulan hak asasi manusia mendakwa jumlah kematian mungkin tiga kali lebih tinggi daripada jumlah itu. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 20 Julai 2017 menunjukkan sekumpulan lelaki ditahan bagi pengesahan selepas pegawai-pegawai polis menjalankan serbuan antidadah besar-besaran di kawasan setinggan di Manila. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...