THE HAGUE/MANILA, 10 OKT – Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, akan terus ditahan selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini menolak permohonan pasukannya untuk dibebaskan atas alasan kesihatan.
Hakim ICC memutuskan bahawa Duterte berisiko melarikan diri dan boleh mempengaruhi saksi jika dibebaskan, dengan alasan ini lebih penting daripada masalah kesihatan yang dihadapi lelaki berusia 80 tahun itu.
“Mahkamah mendapati bahawa penahanan Duterte masih diperlukan,” kata ICC dalam keputusan yang sebahagiannya disunting bertarikh 10 Oktober.
Pendakwa ICC menuduh Duterte atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, mendakwa dia terlibat dalam sekurang-kurangnya 76 pembunuhan sebagai sebahagian daripada ‘perang dadah’ yang dilancarkan.
Pertuduhan pertama membabitkan penglibatannya sebagai pelaku bersama dalam 19 pembunuhan antara 2013 dan 2016 semasa Duterte menjadi Datuk Bandar Davao City.

Pertuduhan kedua melibatkan 14 pembunuhan ‘High Value Targets’ pada 2016 dan 2017 ketika Duterte menjawat jawatan Presiden.
Pertuduhan ketiga berkaitan 43 pembunuhan yang dilakukan semasa operasi ‘clearance’ terhadap pengguna atau pengedar dadah peringkat rendah antara 2016 dan 2018 di seluruh Filipina, menurut pendakwaan.
Duterte ditangkap di Manila pada 11 Mac, dibawa ke Belanda pada malam yang sama dan telah ditahan di unit penahanan ICC di Penjara Scheveningen sejak itu.
Dia mengikuti perbicaraan awal melalui pautan video, kelihatan keliru, lemah dan hampir tidak bercakap.
Peguamnya, Nicholas Kaufman berkata Duterte tidak mampu menghadapi perbicaraan ‘akibat gangguan kognitif dalam pelbagai domain’. Kaufman juga telah menggesa ICC menangguhkan prosiding terhadap Duterte tanpa had masa.
Bertindak balas terhadap keputusan ICC hari ini, Kaufman memberitahu AFP, “Pihak pembela menganggap keputusan menolak jaminan luar biasa oleh negara terhadap seorang lelaki berusia 80 tahun yang lemah dan mengalami gangguan kognitif, serta disembunyikan dari orang awam selama lebih enam bulan, merupakan satu kesilapan.”
“Rayuan telah difailkan seminggu lalu,” tambahnya. – AFP

