REYKJAVIK – Gua ais yang jernih, tasek glasier, gunung berapi yang meluahkan lava dan air terjun yang deras dipinggiri oleh tiang-tiang lava gelap: landskap menakjubkan di Iceland telah menjadi tarikan kepada penerbit filem Hollywood yang ingin mewujudkan latar yang lebih mementingkan hal-hal kerohanian.
Di selatan Iceland, gaung Almannagja terbentang luas sesaujana mata memandang. Latarnya yang menarik dipilih sebagai lokasi babak pertempuran epic “Game of Thrones” di antara watak Brienne of Tarth dan Hound.
“Perbezaannya adalah amat besar sehingga anda boleh mewujudkan pelbagai jenis landskap,” kata Leifur Dagfinnsson, presiden syarikat penerbitan Iceland Truenorth, yang memegang 90 peratus daripada pasaran.
“Anda boleh membuat penggambaran Iceland untuk Iceland atau anda menggunakan Iceland untuk diganti sebagai tempat lain seperti Himalaya, tundra Mongolia, Siberia atau Greenland,” beritahunya kepada AFP.
Terletak di Atlantik Utara, landskap Iceland yang berbentuk bulan telah berfungsi sebagai set penggambaran untuk kebanyakan filem fiksyen yang mengambarkan planet lain, kata Dagfinnsson.


Daripada siri TV seperti “Black Mirror”, kepada blockbuster termasuk “Interstellar,” “Lara Croft: Tomb Raider”, “Star Wars”, filem James Bond dan “Fast and Furious 8”, senarai filem yang digambarkan di Iceland dalam beberapa tahun ini adalah panjang.
Landskap menakjubkan
Landskap negara yang tidak berhuni menawarkan penerbit filem peluang untuk memfilemkan segalanya daripada babak dramatik yang penuh dengan aksi kepada pemandangan yang meramalkan mala petaka dan dunia futuristik.
Penerbit filem Darren Aronofsky memilih Iceland sebagai lokasi penggambaran untuk filem blockbuster bercirikan cerita dalam kitab Bible “Noah” pada tahun 2014, membintangi Russell Crowe.
Landskap adalah bersifat di luar alam nyata – dunia lain,” beritahu rakan penerbit Aronofsky Scott Franklin kepada akhbar Los Angeles Times pada masa itu.
Langit boleh kelihatan seolah-olah ia sedang terbakar di tengah musim sejuk, atau dipenuhi dengan awan diikuti oleh asap hitam.
Ia bukan disebabkan letusan gunung berapi atau ribut, tetapi ledakan piroteknik dan helicopter daripada set penggambaran.
Dan di kaki air terjun atau di pantai yang dipenuhi dengan batu kerakal yang berkilat, anda boleh bertemu dengan askar yang membawa pedang pelik yang sedang menunggang kuda pulang daripada pertempuran.
Perkembangan ekonomi
Keruntuhan ekonomi Iceland pada tahun 2008 menjadikannya sebuah negara yang tidak mahal untuk bekerja dan ia mempunyai infrastruktur yang kukuh dengan kemudahan senang ke lokasi penggambaran, menurut Kristinn Thordarson, presiden Persatuan Penerbit Filem Iceland (SIK).
Ekonomi sedang berkembang sekali lagi disebabkan industri pelancongan yang melambung dan sektor perikanan yang pesat, namun kesuraman menyelubungi mata wangnya yang meningkat, krona, yang cuba dikawal oleh negara yang banyak bergantung pada eksport itu.
Sebagai satu insentif kepada penggambaran di Iceland, satu rebet cukai dinaikkan pada tahun ini daripada 20 kepada 25 peratus daripada belanjawan keseluruhan penerbitan sebuah filem di negara itu, dan Thordarson berkata beliau berharap ia akan ditambah kepada 30 peratus dalam tempoh empat tahun, di belakang Ireland sebanyak 32 peratus.

Di tanah ais dan api, 2016 adalah tahun kemuncak untuk penerbitan televisyen dan filem, dengan pusing ganti untuk syarikat tempatan sebanyak 20 bilion kronor.
Namun Thordarson mahu mengembangnya lagi.
“Jika kami membina sebuah studio di sini dan jika penerbit filem menggunakan studio berkenaan maka mereka akan melakukan dengan lebih banyak lagi di Iceland berbanding lokasi penggambaran,” kata beliau.
Penggambaran dikawal ketat, terutamanya di lebih 100 kawasan dilindungi di negara, daripada taman hutan simpanan kepada taman negara, di mana satu lesen daripada Agensi Alam Sekitar Iceland diperlukan.
Permit penggambaran telah meningkat mendadak sejak 2013 dan “syarat-syarat untuk mendapatkan permit tetap ketat,” kata Adalbjorg Guttormsdottir, yang memimpin satu kumpulan yang mengendali permohonan lesen. Menganggu flora dan fauna negara dilarang sama sekali, dan mengalih batu tanpa meletakkannya di tempat asal tidak dibenarkan.
Pelancongan wayang
Gelinciran Almannagja kini merupakan satu destinasi popular untuk pelancong dan peminat “Games of Thrones.” Eddy Marks mengadakan lawatan ulang-alik sehari untuk mengikuti satu jelajah siri popular HBO, selepas melawat set penggambaran lain di Dubrovnik dan Malta di Croatia.
“Ia cantik untuk dilihat, sesuatu di TV dan seterusnya anda datang untuk melihatnya sendiri. Ia adalah pengalaman berlainan,” kata penduduk California selepas mengambil swafoto di depan glasier Langjokull yang dipinggiri oleh salji.
Di sini, plet tektonik Eurasia dan Amerika Utara berpisah, mewujudkan ngarai dalam. Dan di tempat inilah, di tengah taman negara Thingvellir, kini disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, parlimen paling tua di dunia ditubuhkan, pada 930. Marks adalah antara 20 pelancong lain yang datang ke taman negara untuk melihat sebuah wilayah di “Games of Thrones” dipanggil Beyong the Wall.
“Cuaca adalah berlainan di beberapa tempat penggambaran TV,” kata Glenn McGregor, seorang pesara Kanada, sambil ketawa kecil, tatkala hujan lebat turun.
Cuaca yang tidak dapat diramalkan di Iceland amat menyusahkan krew penggambaran. “Banyak hari disia-siakan disebabkan masalah ini,” kata Theodore Hansson, 35, jurupandu pelancong “Game of Thrones.”
Seorang pelajar sejarah lama di Universiti Reykjavik, beliau juga muncul sebagai tambahan dalam musim kedua, ketiga dan keempat “Game of Thrones” serta musim ketujuh baru-baru ini. Namun cuaca buruk juga mempunyai kelebihan. “Ia mewujudkan senario yang lebih realistik dan lebih cantik,” kata Leifur Dagfinnsson. “Kadang kala ia merupakan satu kelebihan.” – AFP