THE HAGUE, 14 Feb – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Rabu menolak bantahan Amerika Syarikat (AS) berhubung percubaan Iran bagi mendapatkan semula aset yang dibekukan bernilai AS$1.75 bilion yang didakwa AS sepatutnya diberikan kepada mangsa serangan dikaitkan dengan Tehran, lapor agensi berita Turki Anadolu.
ICJ mengesahkan bahawa ia memiliki ‘bidang kuasa’ ke atas kes itu, yang difailkan Iran pada 2016 terhadap AS.
Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menolak bantahan AS berhubung dakwaan bahawa Iran menyokong keganasan dan negara tersebut memiliki bukti mengenai perkara ini.
Pada 2016, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa bank pusat Iran perlu membayar lebih AS$2 bilion sebagai pampasan daripada dana yang dibekukan itu kepada keluarga mangsa serangan pengganas dikaitkan dengan Tehran.
Mahkamah Amerika memutuskan bahawa Kongres AS bertindak sewajarnya apabila ia meluluskan undang-undang pada 2012 yang membenarkan keluarga menuntut pampasan sebanyak AS$2.6 bilion daripada dana bank pusat Iran yang telah dibekukan.
Pampasan untuk keluarga 241 anggota marin yang terkorban dalam serangan pengganas pada 1983 di Beirut, telah diputuskan oleh sebuah mahkamah persekutuan pada 2007.
Plaintif menuduh Iran menyediakan sokongan material kepada Hezbollah, sebuah kumpulan militia Iran yang didokong oleh puak Syiah, untuk melancarkan serangan bom trak pada 1983 di pekarangan pasukan marin itu di Beirut, selain serangan lain termasuk insiden pengeboman trak di Menara Khobar pada 1996 di Arab Saudi yang mengorbankan 19 anggota tentera AS.
ICJ, yang ditubuhkan pada Jun 1945, merupakan organ kehakiman utama PBB. – Bernama
