Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Malaysia; Pasca Sarjana UIN Sunan Gunung Djati, Bandung, Indonesia; dan Kolej Pengajian Islam (CIS) Prince of Songkla University (PSU), Thailand, telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Islam Di Alam Melayu Kali Ke-14 (ICON IMAD XIV 2025) yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan persidangan, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Profesor Dato’ Dr. Mohd Fakhruddin bin Abdul Mukti, selaku Pengerusi ICON IMAD XIV 2025 dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan, kepentingan kesinambungan tradisi keilmuan Islam di Alam Melayu sebagai asas kepada pembentukan masyarakat berakhlak dan berpaksikan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

ICON IMAD XIV 2025 menjadi platform ilmiah bagi membincangkan isu-isu semasa di Alam Melayu dalam usaha mempertahankan jati diri Melayu Islam serta mengetengahkan hasil penyelidikan yang bermanfaat kepada ummah dan negara.
Majlis turut diserikan dengan pembentangan kertas perdana oleh Penolong Profesor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dato’ Dr. Ayman Al-Akiti, bertajuk “Sumbangan Data Kodikologi dan Filologi Dalam Kajian Ahl Al-Sunnah Wal Jama‘ah di Alam Melayu”.
Sebanyak 149 kertas kerja dibentangkan oleh para akademia dan pelajar dari dalam dan luar negara, merangkumi bidang seperti Dakwah, Psikologi dan Pembangunan Insan; Pengurusan Islam; Akidah dan Pemikiran Islam; serta Usul al-Fiqh.
Dengan tema “Islam di Alam Melayu: Keilmuan Islam Mendepani Cabaran Era Kecerdasan Buatan (AI)”, persidangan tersebut membincangkan cabaran dan peluang yang dibawa oleh perkembangan teknologi maklumat serta transformasi digital yang melahirkan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI).
Tema tersebut turut menekankan keperluan umat Islam, khususnya generasi masa kini, untuk memperkukuh keintelektualan dan keluasan minda selaras dengan tuntutan Islam yang sentiasa peka terhadap perubahan zaman.
Perkembangan pesat AI bukan sahaja mengubah landskap sosial dan ekonomi, malah turut memberi kesan kepada cara umat Islam berfikir, berinteraksi dan menimba ilmu pengetahuan.
Di persidangan itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd Fakhruddin semasa membentangkan kertas kerja beliau antara lain menekankan bahawa dunia Melayu sejak dahulu merupakan wadah penting penyebaran ilmu Islam seiring kedatangan agama suci ini ke rantau Nusantara.

“Melalui sistem pengajian tradisional Islam ini, masyarakat Melayu Islam dapat melaksanakan ajaran agama dengan aman dan tenteram, kefahaman Islam yang jelas dan berpaksikan akidah serta syariah membantu ulama mempertahankan jati diri daripada pengaruh pemikiran asing,” jelas beliau.
Tambahnya, meskipun masyarakat kini terdedah kepada pendidikan moden, para intelektual Islam semasa tetap mempertahankan ‘manhaj’ dan warisan keilmuan ulama terdahulu, menjadikan Alam Melayu kekal sebagai benteng ilmu, akidah dan peradaban Islam.
Namun begitu, beliau turut menegaskan bahawa gelombang era digital dan kecerdasan buatan (AI) menghadirkan cabaran baharu terhadap pemikiran Islam.
“AI perlu dilihat sebagai wasilah yang berperanan menyebarkan ilmu dengan pantas dan meluas, tetapi tetap dipandu oleh syarak agar tidak menjejaskan nilai Islam,” jelasnya.
Sementara itu, Rektor Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Bandung, Indonesia, Profesor Dr. H. Rosihon Anwar, M.Ag., pula mengongsikan keseimbangan antara ilmu sains Islam dan kemajuan teknologi merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.

Selain memuji komitmen Malaysia dalam membangunkan AI berteraskan epistemologi dan etika Islam menerusi agensi seperti JAKIM, di samping inisiatif Brunei Darussalam melalui program AI Ready ASEAN yang melatih tenaga pendidik berdasarkan nilai Islam sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai penggunaan AI secara beretika.
Selain menyeru agar masyarakat Islam di Alam Melayu menerima AI dengan minda terbuka berpaksikan etika dan panduan rohani yang kukuh, menjadikan teknologi sebagai alat memperkukuh keadilan, kasih sayang dan kebenaran.
Persidangan berkenaan dihasratkan dapat memperkukuh jaringan akademik dan intelektual antara para ilmuwan pengajian Islam serata dunia, di samping melahirkan penyelidikan berimpak tinggi serta memperkasa usaha memperkukuh keilmuan Islam di rantau Melayu.
Turut hadir di persidangan berkenaan, Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Penasihat ICON IMAD XIV 2025.

