ICOTE: 10 resolusi dirumus

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Sebanyak 10 resolusi dirumuskan daripada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru (ICOTE) 2019 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Resolusi berkenaan telah dibacakan pada majlis penutup persidangan di mana hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menerima resolusi tersebut ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Pada majlis itu, beberapa cadangan resolusi telah dibacakan oleh Profesor Madya Dr Haji Misnan bin Haji Jemali selaku pelapor persidangan.

Persidangan antara lain mencadangkan bahawa falsafah pendidikan negara mestilah diberikan tafsiran yang jelas dan sesuai dengan perkembangan semasa serta pendekatan pelaksanaannya dalam institusi pendidikan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Selain itu, institusi pendidikan guru mestilah memberikan fokus kepada peranan guru dalam pendidikan secara praktis sama ada formal, informal atau non formal dan dalam pendidikan dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), pendidikan rabbani hendaklah diperkasa dengan memfokuskan kepada aspek visi, kurikulum, pelaksanaan pengajaran, persekitaran dan pengurusan, penekanan pendidikan Al-Quran itu hendaklah sebagai Rahmatan lil Alamin (rahmat sekalian alam).

Guru-guru juga hendaklah diberikan pendedahan dan latihan terhadap maklumat terkini berkaitan pendidikan abad ke-21, khasnya yang berkaitan SPN21 dan wawasan 2035, demi memenuhi aspirasi pendidikan negara serta kelangsungan bagi menghadapi cabaran pendidikan era IR4.0.

Di samping itu, guru-guru hendaklah menjadikan sejarah nabi dan rasul sebagai rujukan model agar pendidikan Islam sentiasa sejalan dengan petunjuk Al-Quran dan kurikulum pendidikan agama (PUI) perlu diaplikasikan dengan falsafah MIB sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Persidangan juga mencadangkan supaya falsafah pendidikan Negara Brunei Darussalam peringkat Kementerian Pendidikan dan KHEU perlu dinaik taraf ke peringkat negara supaya lebih berkesan dalam merancang dan melaksanakan SPN21 dan wawasan 2035.

Selepas pembacaan resolusi, Pengarah Persidangan, Profesor Madya Dr Muhd Zahiri bin Awang Mat menyerahkan dokumen resolusi kepada Dr Haji Adanan.

Terdahulu sebelum majlis penutupan, persidangan anjuran bersama KUPU SB dan Konsortium Universiti Pendidikan Asia Pasifik (CAPEU) itu telah mendengarkan pembentangan kertas utama III bertajuk ‘Falsafah Pendidikan Islam pada Era IR4.0’. yang disampaikan oleh Profesor Dr Rosnani Hashim pada sebelah pagi.

Dalam pembentangan tersebut, Profesor Dr Rosnani antara lain menjelaskan bahawa dunia sekarang telah melalui empat revolusi industri dan menurut beberapa pakar, ia sedang melangkah masuk IR5.0.