Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ICRC seru bantuan kemanusiaan ke Gaza

    RAMALLAH, 15 OKT – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyeru agar bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan disalurkan ke utara Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Palestin (WAFA).

    ICRC dalam kenyataan media hari ini memaklumkan hospital-hospital yang sudah menanggung beban berat kini bergelut untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat, sambil menekankan keperluan untuk menghormati dan melindungi kemudahan perubatan.

    Lebih 400,000 orang masih terperangkap di utara Gaza untuk hari ke-10 ketika tentera pendudukan Israel meneruskan pencerobohan darat ke atas kem Jabalia dan Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza.

    ICRC menekankan keperluan untuk menyediakan perlindungan kepada orang awam berikutan arahan pemindahan di utara Gaza.

    “Ramai yang tidak boleh melarikan diri, sebahagian daripada mereka sakit atau kurang upaya, tetapi mereka ini tetap dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, dan semua langkah perlu diambil untuk memastikan mereka tidak dicederakan,” kata ICRC.

    Jawatankuasa itu menegaskan bahawa hak setiap orang yang kehilangan tempat tinggal untuk pulang ke rumah mereka dengan selamat adalah hak yang dijamin. – Bernama

    Penduduk Palestin yang dipindahkan dari utara Gaza berlindung di khemah sementara di stadium Yarmouk di Bandar Gaza pada 1 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda