Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ida badai Louisiana, jejas bekalan elektrik

    NEW ORLEANS, 30 OGOS – Taufan ganas Ida telah membadai negeri Louisiana selatan Amerika Syarikat (AS), mengorbankan seorang manakala bekalan elektrik bagi sejuta penduduk telah terjejas, termasuk seluruh New Orleans.

    Ida menghentam pantai Louisiana dalam ribut Kategori 4 kelmarin, 16 tahun selepas Taufan Katrina memusnahkan New Orleans, namun melemah menjadi ribut tropika awal hari ini.

    Ribut itu menjejaskan bekalan elektrik bagi semua penduduk New Orleans, dengan lebih satu juta pelanggan seluruh Louisiana tanpa bekalan elektrik, menurut pengesan PowerOutage.US.

    “Kami sekarang tiada bekalan elektrik, seluruh bandar! Ini masanya untuk anda terus berada di tempat selamat. Bukan masanya untuk keluar!” kata Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrell dalam Twitter.

    Pembekal elektrik Entergy berkata ia sedang menyalurkan kuasa sokongan kepada Lembaga Air an Pembetungan New Orleans, yang mengoperasikan stesen pengepaman digunakan untuk mengawal banjir.

    Dua lelaki membantu pemandu yang terkandas akibat banjir di sebuah pantai di Biloxi, Mississippi pada 30 Ogos. – AFP

    Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara juga mengeluarkan amaran ribut dan banjir kilat di beberapa kawasan termasuk bandar Jean Lafitte, selatan New Orleans, di mana Datuk Bandar Tim Kerner berkata air meningkat pantas telah melebihi tetambak 7.5 kaki tinggi.

    “Kemusnahan seluruhnya, bencana, tetambak bandar kita telah dilimpahi,” kata Kerner kepada WGNO, ABC.

    “Terdapat antara 75 hingga 200 orang terkandas di Barataria,” selepas baj membawa jambatan apungan ke pulau itu.

    “Angin masih kencang, kita tidak boleh menggunakan bot untuk mengambil mereka,” ujarnya kepada WGNO.

    “Ini adalah situasi berbahaya. Saya tidak pernah melihat air sedalam ini dalam hidup saya,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda