Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Idan pernah ditolak kerana tak kacak

    Biarpun pernah dilamar syarikat pro-duksi antarabangsa, pelakon remaja, Idan Aedan mendedahkan pernah ditolak membintangi drama tempatan kerana dikatakan tidak memiliki rupa paras kacak.

    Idan atau nama sebenar, Muhammad Shahidan Abdullah, 19, berkata warna kulitnya yang sawo matang turut menjadi punca namanya diketepikan oleh beberapa syarikat produksi tempatan.

    “Saya agak sukar terbabit dalam mana-mana drama tempatan disebabkan warna kulit dan dikatakan tiada paras rupa.

    “Industri arus perdana tak mahu sangat rupa dan warna kulit seperti saya. Ia bukanlah terjadi baru-baru ini, tetapi saya pernah melaluinya,” katanya kepada BH Online.

    Lantaran itu, teraju utama siri Netflix Mr Midnight: Beware The Monster itu mengakui, dia lebih cenderung mengambil peluang berlakon dalam naskhah yang ditayangkan menerusi platform penstriman Over The Top (OTT).

    Idan mendedahkan pernah ditolak membintangi drama tempatan kerana dikatakan tidak memiliki rupa paras kacak. – mStar

    “Sebab itu saya banyak dilihat dalam platform OTT kerana mereka tak kisah mengenai paras rupa, tetapi lebih menekankan hasil kerja.

    “Saya tidaklah terlalu kecewa apabila nama ditolak oleh produksi tempatan. Namun, agak kasihan untuk individu lain yang ditolak disebabkan alasan sama biarpun berbakat besar.

    “Saya tak sedih dengan diri sendiri kerana rezeki lakonan tidak pernah putus walaupun pernah ditolak,” katanya ditemui pada sidang media selepas sesi pratonton filem Tebus
    di GSC The Starling, di sini, baru-baru ini.

    Pada masa sama, Idan berkata, dia turut menerima kritikan segelintir individu mengenai warna kulitnya, namun mengambil keputusan untuk tidak mempedulikannya.

    “Ada yang mempersoalkan warna kulit saya yang gelap, tetapi saya tak terasa sangat sebab keluarga banyak beri sokongan dan semangat,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda