Idayu tidak mengalah dalam perjuangan

Biarpun bakat besarnya masih dipandang sepi, penyanyi, Idayu, 35, tidak pernah mengalah dalam perjuangannya.

Hakikatnya, bakat Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob cukup besar. Dia memiliki vokal yang hebat, jadi tidak hairan bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu pernah dinobatkan sebagai juara AF Megastar pada tahun 2017.

Penyanyi yang mendapat jolokan Mariah Carey Malaysia itu pernah dilihat tenggelam selepas AF3. Namun kemunculan semula selepas menjuarai AF Megastar dikatakan akan kembali mengangkat namanya. Namun, hingga saat ini, ada yang beranggapan bakatnya masih dipandang sepi.

“Ikutkan, sudah banyak usaha yang dilakukan, begitu juga single demi single dikeluarkan termasuk dua kali berduet bersama Ezad Lazim.

“Saya dipertanggungjawabkan mempromosikan lagu Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 berjudul Visit Truly Asia Malaysia dalam dua versi. Pendek kata, projek sentiasa ada bersama undangan persembahan selama ini.

Meskipun pelbagai cara yang dilakukan, hingga saat ini, ada yang beranggapan bakat Idayu masih dipandang sepi. – Agensi

“Saya banyak memberikan ceramah dan bengkel di Jabatan Muzik di beberapa pusat pengajian. Saya juga ada mengajar kelas vokal. Cuma, saya agak terkesan ketika dilanda pandemik COVID-19.

“Kesimpulannya. saya sentiasa ada dalam industri hiburan. Paling penting, saya dapat mengekalkan hayat diri dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan. Bagaimanapun, rezeki ketentuan Allah SWT,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Idayu mengakui, kemunculan di kaca televisyen (TV) berkurangan berbanding penyanyi lain.

“Sungguhpun begitu, saya okey sahaja. Saya menyanyi bukan mahu mengejar populariti, ia juga bukan sasaran saya. Saya menyanyi atas dasar suka. Saya terlalu meminati muzik dan mendambakan kepuasan.

“Sepanjang hidup, saya menyertai pertandingan menyanyi sejak berusia 7 tahun lagi. Saya selesa dengan perjuangan dilakukan selama ini. Lebih utama, saya mendapat sokongan ibu dan suami,” katanya optimis. – Agensi