Saturday, January 4, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Idea ‘balang solat’ Diana Danielle galakkan anak jaga ibadat

    Anak perempuan pelakon Diana Danielle iaitu Nur Aurora tampil dengan idea kreatif sebagai galakkan menunaikan solat lima waktu setiap hari.

    Diana atau Diana Danielle Beeson, 34, berkata, idea mewujudkan ‘balang solat’ susulan sebelum ini mereka sering berdepan situasi liat bangun untuk menunaikan solat Subuh.

    Bukan sekadar memberi galakkan malah bagi Diana cara tersebut turut menyeronokkan. “Segalanya bermula apabila bangun Subuh terasa susah. Jadi kami tampil dengan idea ini untuk jadikan ia lebih menarik dan bermotivasi.

    “Aurora menghias balangnya sendiri untuk jadikan ia lebih istimewa,” katanya.

    Diana berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya kelmarin.

    Dalam beberapa hantaran yang dimuat naik juga kelihatan Aurora menunjukkan kreativiti dengan mewarnakan balang tersebut.

    Mereka berdua juga sebelum itu keluar bersama membeli peralatan untuk menghias balang berkenaan.

    Menurut Diana setiap kali anaknya itu menunaikan solat fardu, satu butir manik akan dimasukkan ke dalam balang sebagai tanda bertambahnya amalan.

    “Setiap solat mendapat satu manik sebagai simbolik bertambahnya pahala.

    “Subuh dan Isyak akan dapat dua manik sebab paling susah nak tunaikan. Semoga Allah merahmati dan permudahkan perjalanan dia,” ujarnya.

    Aurora merupakan anak bongsu hasil perkahwinan Diana bersama pengarah dan pelakon Farid Kamil.

    Selain Aurora, 9, mereka juga memiliki seorang lagi cahaya mata iaitu Muhammad, 12 tahun. – Agensi

    Aurora menunjukkan kreativiti hasilkan ‘balang solat’. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda