Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Idea kreatif rakyat Korea Selatan raikan Hari Ibu Bapa

    SEOUL – Bulan Mei dikenali sebagai ‘Bulan Keluarga’ di Korea Selatan, dengan beberapa hari ditetapkan untuk meraikan dan menyatakan kasih sayang kepada insan tersayang. Antaranya ialah Hari Ibu Bapa yang disambut pada 8 Mei.

    Tradisi lama menyaksikan anak-anak menghadiahkan bunga teluki kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan.

    Namun, rakyat Korea kini semakin kreatif dalam memilih hadiah yang lebih bermakna dan berbaloi, terutama sekali wang tunai yang diberikan dengan cara yang sangat kreatif.

    Kwon Young-june, seorang pekerja pejabat berusia 53 tahun, berkata beliau sudah beberapa tahun meninggalkan pemberian bunga teluki kerana harganya yang semakin mahal dan mudah layu.

    Kini beliau lebih suka membawa ibu bapanya makan malam mewah bersama hadiah dan sampul berisi wang.

    Gambar ini menunjukkan kotak berisi bunga sabun dengan kad peringatan untuk Hari Ibu Bapa di tengah. Uniknya, apabila kad tersebut ditarik, wang tunai akan keluar daripada kotak tersebut. – ANN/The Korea Herald
    Gambar ini menunjukkan sampul yang berisi duit khas sebagai hadiah sempena Hari Ibu Bapa, yang akan mengeluarkan konfeti apabila dibuka. – ANN/The Korea Herald
    Gambar ini menunjukkan perhiasan lampu yang diisi dengan bunga kekal sebagai hadiah Kim Young-seo kepada ibunya sempena Hari Ibu Bapa. – ANN/The Korea Herald

    Namun, trend tersebut semakin hilang, jualan bunga teluki telah menurun dan menurut data Korporat Perdagangan Agro-Perikanan dan Makanan Korea, 80,000 ikatan bunga teluki dijual pada Mei 2021, tetapi hanya 40,000 pada Mei 2024.

    Dalam satu kaji selidik oleh platform penyelidikan Lotte Members tahun lalu, 62.2 peratus responden memilih untuk memberi wang tunai, manakala suplemen kesihatan hanya 10.2 peratus dan pakaian atau fesyen sebanyak 6.5 peratus.

    Profesor sosiologi, Koo Jeong-woo dari Universiti Sungkyunkwan menjelaskan, dalam budaya Korea, pemberian wang dianggap bukan sekadar hadiah tetapi juga simbol tanggungjawab dan penghormatan berterusan kepada ibu bapa.

    “Wang tunai dianggap selamat dan praktikal kerana membolehkan ibu bapa memilih apa yang mereka benar-benar perlukan,” katanya.

    WANG TUNAI DENGAN SENTUHAN KREATIF

    Namun, rakyat Korea tidak hanya memberikan wang dalam sampul kosong dan kini diberikan dengan gaya yang lebih menyeronokkan.

    Carian ‘Hadiah Hari Ibu Bapa’ di laman seperti Naver mendedahkan produk seperti kotak duit, bouquet duit, tikar duit dan kek duit, yang menyembunyikan wang tunai dalam bentuk kreatif.

    Jang Yu-jin, pekerja pejabat berusia 29 tahun, berkongsi beliau telah menghadiahkan datuk dan neneknya kotak duit yang berisi bunga sabun dan juga kad.

    Apabila kad itu ditarik, keluar gulungan duit yang panjang.

    “Saya mahu berikan sesuatu yang istimewa kepada mereka yang membesarkan saya.

    “Mereka kelihatan sangat teruja,” katanya.

    Sampul khas yang meletuskan konfeti apabila dibuka juga menjadi viral baru-baru ini. Menurut Prof. Koo, “Budaya pemberian hadiah Korea semakin berubah.

    “Generasi muda menambah elemen humor dan kreativiti dalam menunaikan tanggungjawab sebagai anak.”

    TEKANAN PEMBERIAN ‘TIDAK CUKUP’

    Walaupun hadiah menarik ini menggembirakan, ramai rakyat Korea mengakui berasa tertekan menjelang Hari Ibu Bapa – bukan kerana tidak tahu apa mahu diberi, tetapi bimbang sumbangan mereka ‘tidak setanding dengan orang lain’.

    Kim Young-seo, 32, pernah menghadiahkan ibunya mood light dihiasi bunga – dia menyukainya.

    Tetapi tahun ini, dia memilih wang tunai. Namun, selepas mendengar rancangan rakan sekerja, dia menaikkan jumlah pemberian kerana takut dianggap kurang.

    “Saya rasa saya seorang sahaja yang beri jumlah kecil kepada ibu bapa. Apabila mendengar orang lain belanja besar, saya jadi sukar untuk berjimat walaupun bajet saya ketat. Hari ini memang istimewa, tapi juga sangat tertekan,” katanya. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda