ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
JALAN cerita menarik yang ditampilkan dalam novel Six Days of the Condor karya James Grady telah berjaya menarik minat Paramount Pictures untuk mengadaptasinya ke dalam bentuk filem berjudul Three Days of the Condor pada tahun 1975 yang dibintangi oleh Robert Redford, Faye Dunway, Cliff Robertson dan Max con Sydow.
Kini, sekali lagi novel tersebut telah dipilih oleh Todd Katzburg, Jason Smilovic dan Ken Robinson untuk diadaptasi menjadi sebuah siri drama.
Ia menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Max Irons, William Hurt, Leem Lubany, Angel Bonanni, Kristen Hager, Mira Sorvino dan Bob Balaban.
Kisah dalam siri drama ini menumpukan kepada watak Joe Turner lakonan Max Irons, seorang lelaki muda yang bersifat analitikal dan memang menyimpan hasrat untuk bekerja sebagai seorang ejen perisik.
Ternyata, impiannya itu berjaya direalisasikan dan dia telah ditawarkan untuk menjadi seorang ejen perisik oleh sebuah syarikat perkumpulan yang menawarkan khidmat ejen perisikan.
Kecerdasan fikiran dan sikap idealistik yang dimiliki oleh Joe Turner itu telah berjaya menarik perhatian daripada rakan sekerjanya.
Bagaimanapun tanpa diduga satu kejadian buruk dan sangat mengejutkan telah berlaku apabila keseluruhan ejen perisikan yang bekerjasama dengan Joe Turner telah ditemui mati dengan kejam.
Pembunuhan yang melibatkan ramai mangsa itu setentunya menimbulkan satu persoalan dalam kalangan ejen perisikan atasan.
Lantaran itu, Joe Turner telah ditugaskan untuk menggalas satu tanggungjawab mencabar bagi berusaha untuk merungkai misteri di sebalik pembunuhan tersebut.
Di samping itu, Brendan Fraser turut dijemput sebagai pelakon undangan yang melakonkan watak Nathan Fowler yang merupakan seorang lelaki misteri dan berpotensi untuk menjadi salah seorang suspek kepada jenayah pembunuhan tersebut.
Lalu, untuk mengetahui kesudahan kisah penyiasatan dan cabaran yang dilalui oleh Joe Turner itu maka jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Condor sehingga ke penghujungnya.