PARIS, 10 NOV – Misteri mengenai foto seorang remaja lelaki berpakaian kemas yang disangka detektif selepas rompakan bernilai jutaan euro di muzium Louvre, Paris akhirnya terungkai, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Remaja terbabit merupakan seorang pelajar berusia 15 tahun dari pinggir Paris yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan dan ketika itu hanya mahu melawat muzium terkenal bersama ibunya, menurut laporan majalah Jerman Der Spiegel dan agensi berita Associated Press (AP) yang merakam foto itu.
Remaja itu yang dikenali sebagai Pedro Elias Garzon Delvaux, tidak menyedari dirinya dirakam ketika berdiri berhampiran pegawai polis di hadapan muzium berkenaan semasa kekecohan selepas kejadian rompakan.
Sambil mengenakan topi elegan, sut tiga lapis dan kot panjang, penampilannya membuatkan ramai pengguna Internet menyangka dia seorang detektif sebenar.
Selain menerima pujian atas gayanya, pelbagai spekulasi mengenai identiti remaja itu turut tular di media sosial.
Seorang pengguna X menulis, “Detektif Perancis di lokasi rompakan permata di Louvre ini kelihatan ‘paling detektif’ antara semua detektif yang pernah saya lihat.” – Bernama


