MOSCOW, 14 OKT – Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak global bagi 2025 kepada 700,000 tong sehari dan kini menjangkakan jumlah permintaan mencecah 103.838 juta tong sehari, menurut laporan terkini agensi itu yang dikeluarkan pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Sungguhpun begitu, penggunaan minyak dijangka kekal perlahan untuk baki 2025 dan juga sepanjang 2026, dengan pertumbuhan tahunan diunjurkan sekitar 700 ribu tong sehari bagi kedua-dua tahun.
“Ini jauh lebih rendah berbanding trend sejarah, disebabkan oleh keadaan makroekonomi yang lebih mencabar serta elektrifikasi sektor pengangkutan yang memperlahankan pertumbuhan penggunaan minyak secara mendadak,” menurut laporan itu.
Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh IEA, permintaan minyak global menjelang akhir 2025 akan berada pada paras 103.838 juta tong sehari. Dalam laporan sebelumnya, IEA menganggarkan permintaan global pada 103.874 juta tong sehari. – Bernama


