Ifa Raziah artis yang sering tampil dengan produk baharu, yang setentunya ada yang mahu ditonjolkan agar tampak berbeza dan paling penting, tular.
Muncul dengan single berjudul Miss Diva, Ifa memberitahu, ada pengeluar barang kemas menaja set aksesori termasuk tiara bernilai RM3.5 juta yang digayakan dalam video muzik lagu berkenaan.
Semua barang kemas itu dipakai Ifa dalam penggambaran video muzik arahan Syahid Rushdan di sebuah studio baru-baru ini.
Lagu Miss Diva dicipta oleh Hafiz Hamidun dan komposer dari Indonesia, Ressa Herlambang. Ifa berkata, dia dijelmakan sebagai ratu yang jahat seperti Queen Ravenna lakonan Charlize Theron dalam filem The Huntsman : Winter’s War dalam klip video berkenaan.
“Gerun apabila tiara dan set barang kemas bernilai berjuta-juta ringgit tajaan Ceres Jewels dipakai.

“Memang gementar… Mujur sebaik tiara diletakkan di kepala, serta-merta watak ratu jahat menyerap dalam diri,” katanya kepada media.
Ifa berkata, watak Queen Ravenna yang tidak mahu wanita lain menandingi kejelitaannya, seperti kisah yang tersirat dalam lagu Miss Diva.
“Watak Queen Ravenna mirip Miss Diva yang menganggap dirinya hebat dan ‘meletup’.
“Tapi jangan pula ada yang terbawa-bawa dengan lakonan saya itu… Saya masih orang yang sama,” katanya.
Tahun lalu, Ifa yang memenangi trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak dua kali, muncul dengan single Starlela ciptaan Hafiz. – Agensi