PARIS, 4 JUN – Julian Alvarez akan mendapat peluang kedua jika dia tergelincir ketika membuat sepakan penalti untuk Atletico Madrid pada Piala Dunia Kelab bulan ini, berikutan sepakan penentuan penaltinya yang telah dinafikan pada Liga Juara-Juara Mac lalu, selepas badan penggubal peraturan bola sepak antarabangsa kelmarin menjelaskan peraturan sentuhan dua kali.
Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) yang menggubal peraturan bola sepak mengumumkan jika pemain secara tidak sengaja menyentuh bola dua kali semasa melakukan sepakan penalti dan menjaringkan gol, mereka dibenarkan untuk melakukan sepakan itu semula.
Alvarez tergelincir ketika dia menjaringkan sepakan penaltinya dalam penentuan perlawanan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.
Semakan video (VAR) mengesan dia telah menyentuh bola dua kali dan pengadil memutuskan sepakan itu tersasar di bawah Undang-undang 14, yang berkaitan dengan sepakan penalti. Real seterusnya memenangi penentuan sepakan penalti 4-2.
Selepas perlawanan itu, badan induk Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berkata di bawah peraturan semasa, VAR terpaksa memanggil pengadil yang kemudian membuat keputusan gol itu perlu dibatalkan.
UEFA berkata ia akan mengadakan perbincangan dengan badan induk bola sepak dunia, FIFA dan penggubal undang-undang, IFAB, untuk membincangkan isu itu.
IFAB mengeluarkan keputusannya kelmarin. Ia sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai, tetapi FIFA segera mengumumkan perubahan itu akan dikenakan kepada Piala Dunia Kelab, yang bermula di Amerika Syarikat pada 15 Jun dengan kedua-dua kelab Madrid adalah antara yang tergolong dalam 32 pasukan itu.
UEFA juga menerima pakai perubahan itu, dengan menyatakan semua perlawanan UEFA, bermula dengan separuh akhir Liga Negara-negara UEFA antara Jerman dan Portugal hari ini kini akan diguna pakai di bawah tafsiran baharu Undang-undang 14. – AFP
