GENEVA, 30 MAC – Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) melancarkan rayuan kecemasan hari untuk lebih AS$100 juta bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.
IFRC, rangkaian kemanusiaan terbesar di dunia, berkata negara itu mengalami kemusnahan besar dalam gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter Jumaat lalu berhampiran pusat bandar Mandalay, dan keperluan semakin meningkat mengikut jam.
“Bagi meningkatkan sokongan, IFRC melancarkan rayuan kecemasan untuk 100 juta franc Swiss (AS$115 juta) bagi membantu 100,000 orang (20,000 isi rumah) dengan bantuan menyelamatkan nyawa dan sokongan pemulihan awal dalam tempoh 24 bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
“Dengan suhu meningkat dan musim tengkujuh menghampiri dalam beberapa minggu, penduduk yang terjejas perlu distabilkan dengan segera sebelum krisis sekunder muncul”, katanya.
“Ini bukan sekadar bencana, ia adalah krisis kemanusiaan kompleks yang berulang-ulang atas kelemahan sedia ada,” kata Pengarah Wilayah Asia Pasifik IFRC, Alexander Matheou
“Myanmar terus menghadapi perpindahan dalaman dan kekurangan makanan. Gempa bumi ini telah memburukkan lagi keadaan. Masyarakat global mesti melangkah ke hadapan untuk menyokong tindak balas yang berani dan berterusan,” tambahnya
Persatuan Palang Merah Myanmar tempatan telah menggerakkan sukarelawan terlatih untuk memberikan bantuan, melancarkan usaha mencari dan menyelamat, kata kenyataan itu. – AFP
