GENEVA, 12 SEPT – Pasukan Palang Merah hari ini telah mengemukakan rayuan untuk mendapatkan dana lebih daripada AS$100 juta bagi menyediakan bantuan yang diperlukan di Maghribi, beberapa hari selepas gempa bumi yang dahsyat meragut hampir 2,900 nyawa.
“Kami sedang mencari AS$112 juta untuk dapat memenuhi keperluan yang paling mendesak pada masa ini,” kata Caroline Holt, Pengarah Operasi Global di Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), kepada wartawan di Geneva.
Beliau menyatakan dana tersebut diperlukan untuk ‘kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan, bantuan tempat tinggal, dan keperluan asas’ dengan menekankan: “Kita perlu memastikan kita mengelakkan gelombang bencana kedua.”
Pasukan mencari dan menyelamat dari Maghribi dan luar negara terus berusaha hari ini untuk menggali runtuhan rumah-rumah bata lumpur yang hancur, dengan harapan mencari tanda-tanda kehidupan sekali gus mengejar masa secepat mungkin.
Gempa bumi pada Jumaat lalu adalah yang terkuat dalam sejarah Maghribi.
Ia juga merupakan yang paling banyak membawa maut pernah melanda negara Afrika Utara itu sejak gempa bumi pada tahun 1960 yang menghancurkan Agadir di pantai Atlantik, meragut nyawa antara 12,000 hingga 15,000 orang.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 2,862 orang telah terkorban dan lebih daripada 2,500 cedera dalam tragedi terkini, menurut bilangan rasmi yang dikeluarkan lewat kelmarin.
Maghribi telah memberi kebenaran kepada pasukan penyelamat Britain, Qatar, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membantu, namun setakat ini telah menolak tawaran dari beberapa negara lain, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Israel. – AFP


