Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iftar bersama, imarah keindahan masjid

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Kehadiran bulan keagungan, bulan di mana Allah SWT melimpahkan rahmat dengan pelbagai fadilat kepada umatNya, yang khusyuk dan tawaduk serta yang benar-benar ingin meraih pahala berlipat ganda demi untuk mengejar hari kemenangan di dunia dan juga akhirat. Itulah Ramadan, bulan suci yang lebih baik dari seribu bulan.

    ‘Syukur Alhamdulillah’, itulah kalimat yang pantas diungkapkan bagi kita yang masih dianugerahkan pelbagai nikmat seperti rezeki dan kesihatan yang baik untuk kembali bertemu dengannya.

    Di sebalik perlaksanaan amal ibadat sepanjang bulan Ramadan, ia setentunya juga mampu mewujudkan hikmah yang begitu besar dalam institusi kekeluargaan khususnya mahu pun kemasyarakatan secara amnya, yang mana kita dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang dan silaturahim antara satu sama yang lain.

    Hal ini terbukti berdasarkan tinjauan Media Permata, hari ini, di mana indahnya Ramadan semakin terasa di bumi Darussalam apabila menyaksikan ikatan lapisan masyarakat umat Islam tidak kira warga tempatan mahupun yang bermastautin serta segelintirnya daripada golongan pelancong berhimpun untuk menikmati juadah iftar atau bersungkai sambil duduk bersila di sepanjang ruang yang dikhususkan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Suasana bagaikan sebuah keluarga yang besar itu sememangnya bukan hanya mengeratkan jalinan persaudaraan sesama Islam bahkan juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berkongsi rezeki juadah antara satu sama lain.

    Di samping itu, kegiatan sedemikian juga mendidik semua yang berhimpun untuk memanfaatkan masa dengan teratur di mana selepas berbuka, mereka dapat bersama-sama terus mengerjakan sembahyang fardu dan sembahyang Sunat Tarawih secara berjemaah di rumah Allah dan juga diteruskan dengan bertadarus Al-Quran bersama-sama.

    Dengan adanya suasana iftar bersama ini, ia juga mampu memberikan kefahaman lebih mendalam kepada orang ramai, mahupun pelancong dalam dan luar negara sama ada muslim atau bukan muslim terhadap Islam, di samping menghayati suasana keindahan masjid, mengenali seni binanya serta budaya di Negara Brunei Darussalam. Ini juga mempamerkan Islam sebagai agama yang mementingkan hubungan silaturahim dan berbuat kebaikan tanpa mengira agama dan bangsa.

    Untuk itu, marilah kita bersama-sama menjadikan bulan Ramadan ini sebagai suatu bulan penuh kerahmatan iaitu dengan berlumba-lumba mengerjakan amal soleh, termasuklah membina ukhuwah dari semasa ke semasa demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

    ATAS & BAWAH : Antara yang turut serta menikmati juadah iftar di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda