Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Brunei Campers Meet: Versi Iftar Tahun Kedua telah berjaya mengumpulkan lebih 80 peserta dalam sama-sama memeriahkan acara yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Acara tersebut merupakan pertemuan tahunan bagi komuniti Brunei Campers yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta meluangkan masa berbuka puasa bersama dalam suasana yang terbuka dan berbeza daripada perkhemahan biasa.
Ia juga bagi meningkatkan semangat kebersamaan dalam komuniti Brunei Campers bersama keluarga dan sahabat.
Peserta Brunei Campers dan keluarga mereka menghadiri pertemuan itu dengan menikmati suasana berbuka puasa di kawasan rekreasi yang mana hidangan berbuka puasa disediakan secara potluck dan dikongsi bersama.
Selain sesi berbuka puasa, acara tersebut turut disertai dengan sesi perkongsian pengalaman berkhemah serta perbincangan mengenai aktiviti masa hadapan bagi komuniti Brunei Campers.
Hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam kalangan ahli dapat diperkukuhkan melalui interaksi yang erat sepanjang acara berlangsung.
Brunei Campers Meet: Versi Iftar Tahun Kedua telah berjaya mencapai matlamatnya dalam mengeratkan hubungan sesama ahli serta mewujudkan suasana berbuka puasa yang istimewa dan bermakna.
Penganjur, The Kimz’s Camp, berharap agar acara berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan lebih banyak penglibatan daripada ahli dan aktiviti yang lebih menarik.
