Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) hari ini mengadakan Majlis Pengagihan Sumbangan Penyampaian Derma dan Berbuka Puasa bagi tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung Dewan Serambi Batil, Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian derma kepada para penerima ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PBMP.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Eksekutif PBMP, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman dan disusuli dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Antarabangsa Brunei, Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang Yussop.
Pada tahun ini, seorang anak yatim dan 10 keluarga daripada golongan yang memerlukan yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menerima sumbangan.
Majlis itu merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) PBMP yang bertujuan untuk meringankan keperluan anak yatim dan golongan yang memerlukan dan di samping itu untuk meraih keberkatan pahala dan sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan kemudian berbuka puasa.
Turut hadir pada majlis itu ialah setiausaha tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku ahli Lembaga Pengarah PBMP, timbalan-timbalan setiausaha tetap di MTIC serta pegawai-pegawai dan kakitangan PBMP.