KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Selepas berehat panjang susulan kecederaan lutut sejak Mac lepas, penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC Ifwat Akmal Chek Kassim bersedia untuk merebut posisi penjaga gol utama pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
Bekas penjaga gol simpanan skuad kebangsaan berusia 24 tahun itu hanya membuat satu penampilan musim ini pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), sebelum dihimpit kecederaan lutut kiri yang menyaksikan beliau diketepikan dan diganti penjaga gol berpengalaman Mohd Shahril Saa’ri.
Ifwat mengakui misi mendapatkan semula tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan bukan mudah apabila Mohd Shahril berjaya menampilkan prestasi konsisten dalam setiap perlawanan.
Namun beliau melihat persaingan itu sebagai sesuatu yang positif dan menjadi motivasi untuk lebih bekerja keras bagi mendapatkan semula kepercayaan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak. – Bernama