DOHA, 14 FEB – Juara bertahan tiga kali, Iga Swiatek mara ke separuh akhir Terbuka Qatar selepas menewaskan Elena Rybakina 6-2, 7-5 kelmarin.
Swiatek akan berhadapan dengan Jelena Ostapenko, yang menewaskan Ons Jabeur 6-2, 6-2, untuk merebut tempat di final.
“Pada set kedua, saya rasa dia meningkatkan tahap permainannya, jadi saya perlu melakukannya juga,” kata Swiatek yang kini menduduki tempat kedua dunia selepas menewaskan Rybakina dalam perlawanan ulangan final tahun lalu.
Rybakina memulakan tahun ini dengan kelebihan 4-2 dalam pertembungan menentang Swiatek, namun kini mereka terikat.
Ekaterina Alexandrova meneruskan rentetan kemenangannya dengan menyingkirkan Jessica Pegula yang berada di tangga keenam dengan keputusan 4-6, 6-1, 6-1. Pemain Rusia yang menduduki tangga ke-26 dunia itu turut menewaskan pemain nombor satu, Aryna Sabalenka, awal minggu ini.
“Apabila saya melihat undian, saya rasa saya mungkin tidak mencatat kejayaan besar,” kata Alexandrova.
“Tetapi secara keseluruhan saya telah bermain dengan baik di sini. Saya berharap ia berterusan.”
Alexandrova akan berhadapan dengan seorang lagi pemain Amerika di separuh akhir, Amanda Anisimova, yang menewaskan Marta Kostyuk dari Ukraine 4-6, 7-5, 6-4 untuk mara. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P23-2_15022025.jpg)