Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Boustead Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan Suzuki di Brunei telah melancarkan Suzuki Ignis terbaru untuk pasaran negara ini dalam majlis yang berlangsung di bilik pamerannya di Perindustrian Beribi, hari ini.
Pelancaran telah disempurnakan oleh orang penting Suzuki dari Suzuki Motor Corporation Jepun, iaitu Pengurus Besar Divisyen Automobil Asia, Minoru Amano.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Boustead Sdn Bhd, Dato Paduka Lim Beng Thai dan Penolong Pengurus Divisyen Automobil Asia dari Suzuki Motor Corporation Jepun, Takaaki Kurihara.
Pengurus Lepas Jualan Boustead Sdn Bhd, Chan Chee Seng di awal majlis telah menjelaskan bahawa Suzuki Ignis sesuai untuk semua lapisan masyarakat. “Di tengah-tengah konsep Ignis yang terbaru ini adalah kepercayaan Suzuki bahawa orang ramai patut boleh menikmati respons yang lancar, pengalaman memandu kereta yang menyeronokkan dan permotoran yang mesra alam tanpa mengorbankan gaya, keselesaan, praktikal atau prestasi.
“Suzuki Ignis bukan sahaja dipercayai tetapi juga mampu milik. Kemampuannya tidak hanya pada harga tetapi juga sebagai kenderaan harian dengan penggunaan bahan api yang baik,” tambahnya lagi.



Suzuki Ignis merupakan kenderaan crossover mini yang menampilkan reka bentuk moden dan dikuasakan enjin K12M dengan anjakan 1,197cc, In-Line 4-Cylinder dan 16 injap.
Enjinnya mempunyai teknologi pelbagai injap dan menghasilkan kuasa 62kW pada 6,000 rpm dan 115 Nm tork pada 4,200 rpm.
Dalam gabungan kitaran bahan api, auto CVT mampu mencapai kecekapan bahan api sebanyak 4.9 liter / 100 km.
Pelanggan juga diberikan pilihan warna tunggal atau dua nada warna, bergantung kepada pilihan pelanggan.
Dengan ground clearance setinggi 180 mm (7 inci), Ignis baru berkenaan akan dapat mengharungi sebilangan jalan yang lebih sukar, manakala kedudukan memandu yang dinaikkan akan memberikan penglihatan yang baik terhadap apa yang ada di hadapan. Kereta ini juga mampu membawa kargo sehingga 267 liter.
Suzuki Ignis adalah pilihan yang tepat bagi pelanggan yang mencari crossover mini yang kompak dan progresif serta bertenaga dan dinamik dalam kelasnya. Pelanggan yang berminat untuk melihat lebih dekat Ignis terbaru berkenaan boleh mengunjungi bilik pameran Suzuki.