Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP Disember 2017 menurun

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Disember 2017 telah menurun 0.02 peratus tahun-ke-tahun berbanding bulan Disember 2016.

    Indeks Bukan Makanan mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus, manakala Indeks Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus tahun-ke-tahun. Menurut kenyataan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), penurunan IHP bagi bulan Disember 2017 sebahagian besarnya disebabkan penurunan Indeks Rekreasi dan Kebudayaan (1.7 peratus); Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah (1.4 peratus); dan Pengangkutan (0.7 peratus).

    Indeks Rekreasi dan Kebudayaan pula menurun terutamanya disebabkan penurunan harga bagi peralatan audio-visual, komputer dan aksesori komputer serta peralatan untuk haiwan peliharaan.

    Manakala itu, penurunan Indeks Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah adalah disebabkan penurunan harga tekstil isi rumah, kelengkapan isi rumah serta barangan kaca, pinggan mangkuk dan peralatan isi rumah. Penurunan Indeks Pengangkutan adalah disebabkan oleh penurunan harga bagi alat ganti dan aksesori kenderaan, minyak pelincir serta perkhidmatan pengangkutan melalui udara.

    Bagi keseluruhan tahun 2017, IHP mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus berbanding 2016. Indeks Bukan Makanan mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus manakala Indeks Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Disember dan Tahunan 2017 boleh didapati melalui laman web JPKE di alamat www.depd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda