Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Data Indek Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Januari hingga Mei tahun yang disemak semula telah menurun sebanyak 0.7 peratus dari tahun-ke-tahun berbanding bulan Jun 2018.
Data IHP bagi bulan Januari 2019 hingga Mei 2019 juga telah disemak semula dan IHP bagi Jun 2019 menurun sebanyak 0.7 peratus tahun-ke-tahun berbanding dengan bulan Jun 2018.
Sementara harga makanan dan minuman ringan mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus. Harga bukan makanan juga menurun sebanyak 0.7 peratus.
Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataannya berkata bahawa penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan harga dan kos pengangkutan sebanyak empat peratus, pakaian dan kasut pula mencatat sebanyak 2.6 peratus dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak dua peratus.
Walau bagaimanapun, penurunan itu diimbangi oleh peningkatan harga dan kos restoran dan hotel sebanyak 4.5 peratus, rekreasi dan kebudayaan sebanyak 1.9 peratus dan pendidikan mencatatkan 0.3 peratus.
Harga pengangkutan menurun berikutan penurunan harga kereta dan tiket penerbangan manakala, penurunan harga pakaian dan kasut mengambilkira harga rendah pakaian, bahan pakaian serta caj tukang jahit dan kedai dobi.
Penurunan dalam perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pula adalah disebabkan oleh harga yang menurun bagi sewa rumah dan bahan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kediaman.
Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Jun 2019 meningkat sebanyak 0.01 peratus berbanding dengan bulan Mei 2019. Indeks makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 0.3 peratus, manakala Indeks bukan makanan menurun sebanyak 0.05 peratus.
Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) mengeluarkan perangkaan bulanan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menggunakan tahun asas baharu.
Selaras dengan garispandu antarabangsa, JPKE juga telah mengemaskini kewajaran (weights) dan bakul barangan dan perkhidmatan bagi IHP berasaskan hasil dari Kajian Perbelanjaan Keluarga 2015/16 bagi menggambarkan corak perbelanjaan keluarga yang terkini.
Laporan bermula pada Jun 2019 di mana IHP kini menggunakan tahun asas 2015 bagi menggantikan tahun asas 2010 sebelum ini.
IHP secara ringkasnya adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.
Laporan penuh IHP bagi bulan Jun 2019 beserta maklumat mengenai perubahan tahun asas baru bagi IHP boleh didapati melalui laman sesawang JPKE: www.depd.gov.bn.