Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Mac 2025 menurun 0.5 peratus berbanding Mac 2024, didorong oleh penurunan sebanyak 0.6 peratus bagi indeks makanan dan minuman ringan dan sebanyak 0.5 peratus bagi indeks bukan makanan.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan terutamanya disumbangkan oleh penurunan harga daging (4.1 peratus), khususnya harga daging ayam, berikutan dengan pelaksanaan penetapan harga maksimum bermusim.
Penurunan harga ikan dan makanan laut iaitu 3 peratus adalah disebabkan oleh penurunan harga ikan segar daripada negara-negara pembekal.
Sementara itu, penurunan bagi indeks bukan makanan pula adalah didorong oleh penurunan harga pengangkutan khususnya kenderaan bermotor dan tiket penerbangan; dan harga rekreasi dan kebudayaan terutamanya disumbangkan oleh pakej percutian.
Manakala bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP Mac 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus daripada Februari 2025.

Ini adalah didorong oleh penurunan sebanyak 0.6 peratus bagi indeks bukan makanan, manakala indeks makanan dan minuman ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.
Penurunan bagi indeks bukan makanan adalah terutamanya didorong oleh penurunan harga pakaian dan kasut (8.4 peratus); dan pengangkutan (0.4 peratus), manakala peningkatan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh sayur-sayuran (3.8 peratus) dan buah-buahan (1.3 peratus).
IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan tetap yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Laporan penuh IHP bagi bulan Mac 2025 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.