BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Indeks harga pengguna Brunei (IHP) pada bulan Mac menunjukkan peningkatan lebih kurang 0.05 peratus berbanding Februari disebabkan oleh harga yang tinggi bagi pengangkutan, mengikut statistik terkini yang dikeluarkan pada hari Ahad.
Dalam laporan IHP bulanannya, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Jabatan Perdana Menteri berkata indeks makanan dan minuman bukan alkohol menurun sebanyak 0.3 peratus manakala indeks bukan makanan meningkat 0.1 peratus pada Mac 2017.
Peningkatan IHP keseluruhan Mac 2017 sebahagian besarnya disebabkan oleh pengangkutan (1.7 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (kurang dari 0.05 peratus) diikuti oleh restoran dan hotel (kurang dari 0.05 peratus). Ini adalah terutamanya disebabkan oleh harga yang tinggi bagi perkhidmatan pengangkutan udara, peralatan artikel dan produk untuk penjagaan diri serta perkhidmatan penginapan.
Indeks yang mengalami penurunan ialah rekreasi dan kebudayaan (1.3 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.3 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.5 peratus); serta pakaian dan kasut (1.0 peratus).
Jabatan itu berkata pada asas tahun ke tahun, IHP bagi Mac 2017 telah menurun sebanyak 0.9 peratus berbanding Mac 2016. Kedua-dua makanan dan minuman bukan alkohol dan indeks bukan makanan menurun, masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 0.9 peratus.
Senarai barangan dan perkhidmatan Brunei dalam IHP adalah berdasarkan perbelanjaan purata bagi satu isi rumah. – Xinhua