Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP Mei 2025 menurun 0.5 peratus

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Mei 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus berbanding bulan Mei 2024, didorong oleh penurunan sebanyak 0.8 peratus bagi indeks makanan dan minuman ringan dan sebanyak 0.4 peratus bagi indeks bukan makanan.

    Penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh penurunan harga daging sebanyak 2.9 peratus, khususnya harga ayam; dan harga ikan dan makanan laut sebanyak 1.8 peratus, terutamanya harga ikan dan udang segar.

    Gambar serahan JPES

    Sementara itu, penurunan bagi indeks bukan makanan adalah didorong oleh penurunan harga kenderaan bermotor dan tiket penerbangan; dan kos perkhidmatan langganan penstriman media atas talian disebabkan oleh perbezaan pertukaran matawang asing.

    Kenyataan berkenaan telah dikeluarkan hari ini oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran akhbar berhubung IHP bagi bulan Mei 2025 di Negara Brunei Darussalam.

    Bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP Mei 2025 menurun sebanyak 0.1 peratus daripada April 2025. Ini didorong oleh penurunan sebanyak 0.3 peratus bagi indeks makanan dan minuman ringan; dan sebanyak 0.1 peratus bagi indeks bukan makanan.

    Penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh penurunan harga sayur-sayuran sebanyak 2.8 peratus; dan ikan dan makanan laut sebanyak 1.3 peratus.

    Manakala, penurunan bagi indeks bukan makanan adalah terutamanya didorong oleh pengangkutan sebanyak 0.8 peratus; dan rekreasi dan kebudayaan sebanyak 0.5 peratus.

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan tetap yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan secara bulanan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan serta kewajaran dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata isi rumah yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga 2015/2016.

    Oleh yang demikian orang ramai yang ingin mengetahui laporan penuh IHP bagi bulan Mei 2025 boleh mendapatinya di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda