Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP meningkat 0.1% tahun-ke-tahun

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Bagi bulan Januari 2024, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat pada kadar perlahan sebanyak 0.1 peratus berbanding bulan Januari 2023.
    Ini didorong oleh kenaikan indeks makanan dan minuman ringan sebanyak 2.1 peratus.

    Manakala indeks bukan makanan pula menunjukkan penurunan sebanyak 0.4 peratus.

    Perkara berkenaan telah dikongsikan menerusi kenyataan siaran media dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi berhubung IHP Januari 2024 Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Sementara itu, peningkatan tahun-ke-tahun bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga minuman ringan (10.9 peratus), khususnya minuman rendah gula yang sedia untuk diminum dan harga susu, produk tenusu dan telur (4.5 peratus).

    Di samping itu, penurunan bagi indeks bukan makanan adalah terutamanya disumbangkan oleh harga pakaian dan kasut (4.5 peratus); dan harga perhubungan (3.1 peratus), khususnya penurunan harga perkhidmatan telefon dan telefaks.

    GAMBAR SERAHAN JABATAN PERANCANGAN EKONOMI DAN STATISTIK (JPES)

    Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP mencatatkan penurunan sebanyak 1.3 peratus berbanding bulan Disember 2023, didorong oleh indeks bukan makanan sebanyak 1.6 peratus. Manakala, indeks makanan dan minuman ringan pula mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

    Penurunan indeks bukan makanan terutamanya disumbangkan oleh harga pengangkutan (5.2 peratus) dan rekreasi dan kebudayaan (2.3 peratus). Manakala, peningkatan indeks makanan dan minuman ringan disumbangkan terutamanya oleh harga ikan dan makanan laut (1.3 peratus); dan susu, produk tenusu dan telur (1.2 peratus).

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap
    bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan Januari 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda