Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan April 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding bulan April 2024, didorong oleh penurunan sebanyak 0.4 peratus bagi indeks makanan dan minuman ringan dan 0.01 peratus bagi indeks bukan makanan.
Penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan disumbangkan terutamanya oleh penurunan harga daging sebanyak 2.9 peratus khususnya harga ayam; dan harga susu, produk tenusu dan telur sebanyak 3.3 peratus terutamanya harga telur.
Sementara itu, penurunan bagi indeks bukan makanan adalah didorong oleh penurunan harga pengangkutan khususnya kenderaan bermotor; dan kos perkhidmatan langganan penstriman media dalam talian, disebabkan oleh perbezaan pertukaran mata wang asing.
Kenyataan berkenaan telah dikeluarkan hari ini oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media berhubung IHP bagi bulan April 2025 di Negara Brunei Darussalam.
Bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP April 2025 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus daripada Mac 2025.

Ia didorong oleh peningkatan sebanyak 0.5 peratus bagi indeks bukan makanan, manakala indeks makanan dan minuman ringan mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus.
Peningkatan bagi indeks bukan makanan terutamanya didorong oleh pakaian dan kasut sebanyak 8.8 peratus dan pengangkutan sebanyak 0.2 peratus.
Manakala, penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan terutamanya disumbangkan oleh penurunan harga sayur-sayuran sebanyak 4.4 peratus; dan susu, produk tenusu dan telur sebanyak 0.6 peratus.
IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan tetap yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Orang ramai yang ingin mengetahui laporan penuh IHP bagi bulan April 2025 bolehlah mendapatinya di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.