Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP menurun 0.5 peratus bagi Ogos 2024

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Bagi bulan Ogos 2024, Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus berbanding bulan Ogos 2023, didorong oleh penurunan bagi indeks bukan makanan sebanyak 0.6 peratus, manakala indeks makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 0.1 peratus.

    Menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, penurunan bagi indeks bukan makanan adalah terutamanya disebabkan oleh harga-harga perhubungan (2.8 peratus), berikutan penurunan bagi harga caj perkhidmatan Internet; dan pakaian dan kasut (3.2 peratus).

    Sementara itu, peningkatan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah didorong oleh kenaikan harga minuman ringan (2.9 peratus), khususnya minuman yang sedia untuk diminum; dan harga susu, produk tenusu dan telur (1.5 peratus).

    Bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP Ogos 2024 meningkat sebanyak 0.3 peratus daripada Julai 2024, berikutan peningkatan bagi indeks bukan makanan sebanyak 0.4 peratus. Manakala, indeks makanan dan minuman ringan menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus.

    Peningkatan bagi indeks bukan makanan terutamanya disumbangkan oleh harga pengangkutan (1.6 peratus); dan pakaian dan kasut (2.6 peratus).

    Manakala penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan disumbangkan terutamanya oleh daging (0.7 peratus) dan buah-buahan (1.1 peratus).

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan Ogos 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda