Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    IHP naik 1.9 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2021 meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun-ke-tahun berbanding Oktober 2020 dengan harga makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 2.3 peratus manakala harga bukan makanan meningkat sebanyak 1.7 peratus.

    Bagi harga makanan dan minuman ringan, kenaikan adalah disebabkan oleh harga makanan seperti ayam, sayur-sayuran dan minyak masak. Kenaikan harga daging ayam antara lainnya disebabkan kos makanan ayam.

    Berdasarkan maklumat yang disediakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), faktor-faktor yang mendorong kenaikan harga sayur-sayuran termasuk harga biji benih dan baja kimia disebabkan peningkatan caj pengangkutan dan kos penghantaran untuk mendatangkan bahan-bahan berkenaan dari luar negara.

    Manakala itu, kenaikan harga minyak masak adalah disebabkan kenaikan harga bahan input seperti minyak sawit.

    Perangkaan bagi IHP berkenaan dikongsi oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Siaran media itu menyatakan lagi bahawa peningkatan dalam komponen bukan makanan adalah didorong oleh tiga kumpulan iaitu pakaian dan kasut sebanyak 9.5 peratus, pengangkutan sebanyak 5 peratus dan restoran dan hotel sebanyak 0.7 peratus.

    Peningkatan harga pakaian dan kasut terutamanya adalah selaras dengan kenaikan harga bahan pakaian lelaki dan perempuan seperti kain kapas, poliester, sutera dan les.

    Manakala peningkatan dalam harga pengangkutan adalah didorong oleh kenaikan harga kenderaan bermotor dan tiket penerbangan ke destinasi-destinasi yang terpilih.

    Kos restoran dan hotel meningkat berikutan kadar peningkatan yang lebih pantas dalam perkhidmatan katering.

    Peningkatan IHP secara keseluruhan diimbangi oleh penurunan harga dan kos perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah sebanyak 0.3 peratus, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 0.2 peratus serta rekreasi dan kebudayaan sebanyak 0.2 peratus.

    Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Oktober 2021 meningkat sebanyak 0.1 peratus berbanding dengan

    September 2021. Indeks makanan dan minuman ringan meningkat seba-nyak 0.7 peratus, manakala indeks bukan makanan menurun sebanyak 0.03 peratus.

    Kenyataan menyatakan bahawa IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi Oktober 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...