Tuesday, December 24, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP November 2024 catat penurunan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus bagi bulan November 2024, berbanding November 2023.

    Penurunan itu didorong oleh penurunan sebanyak 1.2 peratus bagi indeks makanan dan minuman ringan, dan sebanyak 0.3 peratus bagi indeks bukan makanan.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah didorong oleh penurunan harga daging sebanyak 2.5 peratus, terutama harga daging ayam disebabkan oleh penurunan kos makanan ternakan ayam.

    Ini diikuti oleh harga sayur-sayuran (4.6 peratus) yang didorong oleh penurunan harga bawang daripada negara-negara pembekal.

    Sementara itu, penurunan indeks bukan makanan pula disumbangkan oleh penurunan harga pengangkutan (1.1 peratus), khususnya harga kenderaan dan tiket penerbangan.

    Rajah menunjukkan IHP bagi November 2024. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Manakala, harga perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api mencatatkan penurunan (0.9 peratus) terutama pada harga penyelenggaraan dan pembaikan tempat kediaman.

    JPES turut menyatakan, bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP November 2024 meningkat sebanyak 0.3 peratus daripada Oktober 2024.

    Ini adalah didorong oleh peningkatan bagi indeks bukan makanan sebanyak 0.4 peratus, manakala, indeks makanan dan minuman ringan pula menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus.

    Peningkatan bagi indeks bukan makanan adalah terutamanya disumbangkan oleh kenaikan harga pakaian dan kasut (5.7 peratus); dan rekreasi dan kebudayaan (1.1 peratus).

    Manakala, penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya didorong oleh ikan dan makanan laut (1.2 peratus); dan daging (0.3 peratus).

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan per-khidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan November 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda