Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Ogos 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 0.4 peratus berbanding bulan Ogos 2024, dan ini didorong oleh penurunan 0.4 peratus bagi kedua-dua indeks Makanan dan Minuman Ringan, dan indeks Bukan Makanan.
Penurunan bagi indeks Makanan dan Minuman Ringan disumbangkan oleh penurunan harga Sayur-sayuran iaitu sebanyak 6.2 peratus yang mana khusus kepada bawang merah, manakala harga Daging pula sebanyak 2.4 peratus, terutamanya untuk daging ayam.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, bagi indeks Bukan Makanan, penurunan didorong oleh perbezaan kadar pertukaran mata wang asing bagi perkhidmatan yuran langganan media atas talian dan perubahan kos insurans kenderaan bermotor.
Manakala perbandingan bulan Ogos 2025 dan Julai 2025 bagi bulan-ke-bulan, IHP Ogos 2025 menurun sebanyak 0.2 peratus dari bulan Julai 2025.
Ini didorong oleh penurunan sebanyak 0.3 peratus bagi indeks Bukan Makanan, manakala, indeks Makanan dan Minuman Ringan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

Penurunan bagi indeks Bukan Makanan adalah terutamanya didorong oleh Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan iaitu sebanyak 1.1 peratus; dan Pakaian dan Kasut pula sebanyak 2.7 peratus.
Peningkatan bagi indeks Makanan dan Minuman Ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh peningkatan harga Ikan dan Makanan Laut (0.6 peratus); dan Buah-buahan (0.7 peratus).
IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan tetap yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Laporan penuh IHP bagi bulan Ogos 2025 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn

