IHP Ogos meningkat hampir 2%

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Ogos 2021 meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun-ke-tahun berbanding dengan Ogos 2020 dengan harga makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 2.1 peratus manakala harga bukan makanan meningkat sebanyak 1.9 peratus.

Peningkatan IHP adalah didorong oleh peningkatan harga dan kos pengangkutan sebanyak 7 peratus, makanan dan minuman ringan sebanyak 2.1 peratus dan restoran dan hotel sebanyak 1.4 peratus.

Walau bagaimanapun, peningkatan itu, diimbangi oleh penurunan harga dan kos perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah sebanyak 1.3 peratus, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 0.3 peratus dan rekreasi dan kebudayaan 0.1 peratus.

Perangkaan bagi IHP berkenaan dikongsi oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Siaran media berkenaan menyatakan lagi bahawa kenaikan bagi harga pengangkutan adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan harga kenderaan bermotor diikuti oleh tiket penerbangan akibat jadual penerbangan yang terhad. Sementara itu, harga makanan dan minuman ringan yang meningkat adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga makanan seperti daging lembu dan kerbau, ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Kenaikan harga daging lembu dan kerbau adalah antara lainnya disebabkan oleh peningkatan kos import khususnya perkhidmatan pengangkutan. Bagi daging ayam, peningkatan harga antara lainnya disebabkan oleh kenaikan kos makanan ayam. Manakala, peningkatan harga minyak masak antara lainnya adalah selaras dengan kenaikan harga bahan input seperti minyak sawit.

Kos restoran dan hotel yang meningkat adalah didorong oleh peningkatan harga menu terpilih bagi katering berkontrak dan juga di restoran dan kafe. Peningkatan harga menu terpilih adalah selaras dengan kenaikan harga bahan mentah.

Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Ogos 2021 meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding dengan Julai 2021. Indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan masing-masing meningkat sebanyak 0.2 peratus.

Kenyataan menyatakan bahawa IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi Ogos 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.