Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP September 2025 meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT- Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan September 2025 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.03 peratus berbanding bulan September 2024.

    Ini didorong oleh peningkatan sebanyak 0.4 peratus bagi indeks Makanan dan Minuman Ringan, manakala, indeks Bukan Makanan menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus.

    Peningkatan bagi indeks Makanan dan Minuman Ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh peningkatan harga Buah-buahan iaitu sebanyak 3.9 peratus, khususnya buah-buahan tropika segar; Kopi, Teh dan Koko pula mencatat sebanyak 3.7 peratus; dan Ikan dan Makanan Laut (1.7 peratus), terutamanya udang segar.

    Manakala bagi indeks Bukan Makanan, penurunan didorong oleh harga Pakaian dan Kasut mencatat sebanyak 1.4 peratus; Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (1.3 peratus), khususnya insurans kenderaan; dan Perhiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah (0.7 peratus).

    Bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP September 2025 meningkat sebanyak 0.4 peratus dari bulan Ogos 2025, dan ini adalah didorong oleh peningkatan sebanyak 0.2 peratus bagi indeks Makanan dan Minuman Ringan; dan 0.5 peratus bagi indeks Bukan Makanan.

    Peningkatan bagi indeks Makanan dan Minuman Ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh peningkatan harga Ikan dan Makanan Laut (0.9 peratus); dan Minuman Ringan (0.4 peratus).

    Sementara, peningkatan bagi indeks Bukan Makanan adalah terutamanya didorong oleh peningkatan harga Pakaian dan Kasut (4.2 peratus); dan Pengangkutan (0.8 peratus).

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan tetap yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan September 2025 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn

    GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda