Sunday, October 13, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    IIPW tekankan pencegahan jangkitan amalan berterusan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Usaha terus dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan dalam sistem penjagaan kesihatan serta komuniti meluas.

    Pencegahan jangkitan merupakan tunggak penting dalam penjagaan kesihatan di mana pandemik COVID-19 telah mengetengahkan pentingnya kawalan jangkitan serta menekankan kepada kekuatan serta bidang-bidang yang perlu kita perbaiki.

    Mengimbas kepada pelajaran yang dipelajari daripada pandemik COVID-19, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan bahawa program-program kawalan jangkitan komprehensif yang dilaksanakan oleh Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) juga amat penting dalam mengurus wabak berkenaan.

    Perkembangan global dalam pencegahan jangkitan termasuk perkembangan protokol, vaksin dan kesedaran awam mengenai amalan kebersihan telah membawa kepada peningkatan kepada keselamatan dan kesejahteraan sistem penjagaan kesihatan, tambah Yang Berhormat Dato lagi ketika berucap selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC di Majlis Sambutan Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa (IIPW) yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan bahawa negara juga berhadapan dengan cabaran daripada rintangan antibiotik dan ketaksamaan dalam akses penjagaan kesihatan, yang menekankan perlunya tindakan berterusan.

    Beliau menggariskan strategi-strategi utama kepada pencegahan jangkitan termasuk penumpuan kepada pendidikan, memupuk kerjasama, mengguna pakai inovasi teknologi serta memastikan akses penjagaan kesihatan yang saksama.

    Dalam hubungan itu, beliau menyeru profesional penjagaan kesihatan dan orang ramai supaya terus kukuh dalam usaha berkenaan bukan sahaja semasa program IIPW berlangsung tetapi diteruskan setiap hari untuk memastikan masa depan yang lebih selamat dan sihat untuk semua.

    Acara bagi sambutan dengan tema Moving the Needle on Infection Prevention berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah kawalan jangkitan yang menyaksikan penyertaan profesional penjagaan kesihatan dari seluruh negara dan pakar antarabangsa bersama-sama menangani isu mendesak iaitu pencegahan jangkitan.

    Pada majlis berkenaan, Pengarah Perubatan dan Konsultan Doktor Penyakit Berjangkit, Mount Elizabeth Novena Specialist Centre, Singapura, Dr Leong Hoe Nam menyampaikan dua pembentangan semasa sesi plenari bertajuk Updates on Pneumoccal Disease and Prevention dan Real Evidence of the Impact and Effectiveness of HPV Vaccination. Beliau berkongsi dapatan penyelidikan terkini dan strategi pencegahan bagi menangani jangkitan serius dan mengetengahkan kejayaan vaksin human papillomavirus (HPV) dalam mengurangkan kadar jangkitan dan meningkatkan hasil pesakit secara global dalam pembentangannya.

    Manakala Pengamal Am, JPMC, Dr Josephine Paz Arocayos Javina dalam pembentang bertajuk Antibiotic Stewardship: JPMC Perspective, beliau menerangkan pelaksanaan penggunaan antibiotik secara bertanggungjawab oleh JPMC untuk mencegah peningkatan rintangan antimikrob.

    Majlis juga turut menyaksikan pembentangan daripada wakil-wakil dari hospital-hospital di Brunei termasuk Timbalan Ketua, Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Raja Isteri Pengira Anak Saleha dan Konsultan Penyakit Berjangkit, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin yang bertajuk Moving the Needle on Infection Control: What It Means in the Brunei Context, di mana beliau memberikan perspektif tempatan mengenai inisiatif dan cabaran pencegahan jangkitan yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan Brunei. 

    Selain itu, Pakar Intensif, Pusat Pemulihan dan Strok Neurosains Brunei (BNSRC), PJSC, Dr Ramghat Mallikarjuna Vishwanathan membentangkan tajuk, Overview of Central Line Bloodstream Infection (CLABSI) in Neurocritical Care Unit, di mana beliau membincangkan usaha untuk mengurangkan jangkitan yang diperoleh di hospital, khususnya dalam persekitaran penjagaan kritikal berisiko tinggi.

    Mesej pada acara berkenaan pada tahun ini memberikan penekanan kepada pentingnya tindakan harian seperti amalan kebersihan tangan yang baik, mematuhi jadual vaksinasi dan memahami penggunaan bertanggungjawab antibiotik. Dengan memupuk usaha kolaboratif antara profesional penjagaan kesihatan dan komuniti, usaha menangani jangkitan yang boleh dicegah, dapat diperkukuhkan di mana ia akan membawa kepada hasil kesihatan awam yang lebih baik.

    Caption for pics:

    Yang Amat Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menghadiri Majls Sambutan Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa (IIPW).
    YB dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
    YB Dato bergambar ramai dengan pembentang-pembentang pada majlis berkenaan.
    Dr Leong Hoe Nam menyampaikan pembentangannya di majlis berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara yang hadir pada majlis berkenaan.
    YB Dato bergambar ramai dengan sebahagian penganjur acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda