Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh para ejen, Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT) telah mengadakan Hari Penghargaan Ejen 2018 di Restoran Horizons Seafood, di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah penolong pengarah urusan, pengurus besar dan ahli kakitangan yang dijemput dari Insurans Islam TAIB Family Takaful (IITFT) Sdn Bhd dan IITGT.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai acara selain interaksi sesama ejen, kakitangan dan pihak pengurusan IITGT.
Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Haji Osman bin Haji Mohd Jair.
Diadakan sejak 2013, majlis tersebut merupakan platform bagi IITGT memberi anugerah kepada ejen-ejen yang mencatatkan prestasi baik.
Majlis menyaksikan penyampaian anugerah kepada 19 ejen yang mencapai sasaran di bawah pencapaian disediakan, dengan Axsel Jaya Insurance Agency Sdn Bhd sekali lagi telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasaran Terbaik buat kali ke-3.
