Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH), penyedia Takaful terkemuka di Brunei Darussalam, kelmarin, telah mengumumkan kempen promosi baharunya dinamakan Peluang Keemasan yang bermula bulan ini hingga Februari 2025.
Kempen baharu berkenaan telah dilancarkan di ibu pejabatnya di Kiulap, susulan kejayaan kempen Alhamdulillah 30.
Pemangku Pengarah Urusan, Haji Mohd Yusreza bin Haji Mohd Yussin dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa teruja untuk kempen tersebut.
Beliau juga menekankan kepentingan inisiatif sedemikian untuk menunjukkan rasa terima kasih kepada peserta dihargai yang telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT) dan Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd (IITFT).
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat, Dayang Noorfaezah Ismail pula berkata, mereka ingin memberikan hadiah kepada pelanggan yang mencerminkan penghargaan syarikat atas sokongan dan kesetiaan berterusan mereka.
“Ini adalah cara kami memberi kembali kepada masyarakat yang telah menjadi tulang belakang kejayaan kami. Kami tidak sabar untuk melihat siapa menjadi pemenang bertuah!,” ujarnya.
Dalam kempen itu, seramai 43 peserta IITGT dan IITFT akan berpeluang memenangi hadiah sama ada 50 gram (g), 20g, atau 10g emas dalam cabutan bertuah utama, atau 5g emas dalam cabutan dwi-bulanan.