Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    IJN laksana implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama

    KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pusat perubatan pertama di Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di dunia, iaitu Abbott AVEIR DR.

    Pakar Perunding Kanan dan Pengarah Klinikal Intervensi Elektrofisiologi dan Peranti Boleh Diimplan, Datuk Dr Azlan Hussin berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen IJN dalam menetapkan piawaian baharu untuk menjadi peneraju rawatan jantung di Malaysia dan serantau.

    “Perentak jantung dwiruang tanpa wayar ini bakal memperbaiki penjagaan pesakit sedia ada dan mencipta peluang untuk merawat lebih ramai pesakit, termasuk kanak-kanak.

    “Dengan pemansuhan penggunaan wayar dan poket pembedahan, sistem perentak jantung baharu ini mengurangkan risiko komplikasi seperti jangkitan, wayar tercabut, atau salur darah tersumbat,” katanya pada sidang media di IJN hari ini.

    Beliau berkata komplikasi jangka panjang lazimnya antara satu hingga dua peratus, atau dalam sesetengah kes ia lebih rendah berbanding perentak jantung konvensional.

    Datuk Dr Saiful Azmi (tengah) menunjukkan implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di Asia Tenggara selepas sidang media di IJN. – Bernama
    Implan perentak jatung dwiruang tanpa wayar. – Bernama

    Setakat ini, 18 pesakit sudah menerima peranti baharu ini, dengan implan pertama dilaksanakan pada 27 Mei, hasil pengalaman lebih sedekad IJN dalam teknologi perentak jantung tanpa wayar, menyaksikan hampir 900 pesakit telah menjalani prosedur melibatkan teknologi baharu itu.

    Dr Azlan berkata sistem AVEIR DR menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk tempoh prosedur lebih singkat yang lazimnya antara 20 minit hingga sejam, bergantung kepada keadaan jantung pesakit.

    “Sistem itu juga direka untuk menyediakan analisis rentakan masa nyata, membolehkan pakar mengesahkan penempatan peranti yang betul semasa prosedur sebelum implantasi ke dalam ruang jantung,” katanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata penggunaan teknologi baharu menyebabkan kos awal bagi prosedur ini agak tinggi.

    “Sama seperti teknologi baharu yang lain, kos awal memang agak tinggi. Namun, caj di IJN jauh lebih rendah berbanding kebanyakan hospital swasta,” katanya.

    Mengenai sama ada hospital lain di Malaysia mampu melaksanakan prosedur itu, Dr Mohamed Ezani berkata perkara ini bukan hanya berkaitan menyediakan perkhidmatan, tetapi memerlukan kepakaran dan infrastruktur yang sesuai.

    “Masyarakat perlu tahu bahawa ini bukan sekadar soal perniagaan. Ia memerlukan kepakaran klinikal, teknologi canggih dan kemudahan yang mencukupi, dan semua ini boleh didapati di IJN.”

    Sistem AVEIR DR direka untuk pesakit yang mengalami jantung perlahan atau tidak normal selain berbeza daripada perentak jantung tradisional yang diletakkan di bawah kulit dengan wayar disambungkan ke jantung dan lebih kecil serta diimplan terus ke dalam atrium dan ventrikel kanan jantung.

    Sebagai perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di dunia, ia menyalurkan rentak yang lancar tanpa komplikasi, reka bentuk invasif minimum, hayat jangka panjang dan ciri-ciri pengubahsuaian untuk keperluan terapeutik masa hadapan.

    Pada 2018, IJN muncul hospital pertama di luar Amerika Syarikat yang menjalankan implan MicraAV iaitu perentak jantung terkecil di dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda