Oleh Hajib Sarhan –
Ikan Asam Pedas merupakan hidangan berkuah dengan rasa masam pedas yang sangat popular di Nusantara, sering menjadi pilihan untuk hidangan keluarga.
Ikan bawal air tawar atau tenggiri sesuai digunakan kerana rasanya yang lebih manis, namun awda juga boleh gunakan ikan salmon, pari, ikan merah atau ikan tempatan lain.
Terdapat pelbagai versi resipi turun-temurun dan resipi yang dikongsi ini adalah gabungan ramuan terbaik untuk menghasilkan Ikan Asam Pedas yang menyelerakan.
Hidangkan bersama nasi putih atau nasi lemak, pasti membuatkan kuahnya diserap sempurna!
CARA PENYEDIAAN
Untuk menyediakan Ikan Asam Pedas, mula-mula kisar bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering yang telah dibuang biji dan direndam, sehingga menjadi pes halus.
Seterusnya, panaskan minyak dalam periuk atas api sederhana ke perlahan, masukkan belacan bakar (jika suka) dan goreng selama satu minit sehingga naik bau. Kemudian masukkan bunga lawang, kayu manis, lengkuas dan serai diikuti dengan bahan kisar tadi.







Tumis bahan-bahan ini selama kira-kira 8 minit atas api perlahan sehingga pes kelihatan sedikit kering dan berwarna keperangan. Taburkan sedikit garam untuk perasa.
Sementara itu, dalam sebuah mangkuk, campurkan pes asam jawa bersama setengah daripada air suam.
Gaul sehingga isinya terpisah dari bijinya, dan tapis airnya untuk dimasukkan dalam masakan setelah pes tumisan garing. Renehkan kuah selama lima minit agar rasa masam dan rempah sebati.
Selepas kuah sedikit berkurang, tambahkan lebihan air jika perlu dan masukkan daun limau purut, daun kesum dan bunga kantan.
Pastikan rasa kuah seimbang — pedas, masam, masin dan penuh aroma dan apabila kuah mendidih, masukkan ikan dan sayur-sayuran seperti bendi dan tomato.
Perlahankan api dan reneh selama setengah minit, kemudian tutup periuk dan matikan api. Biarkan hidangan terendam dalam kuah panas selama 15 minit supaya ikan dan sayur masak sempurna tanpa terlalu hancur. Ikan Asam Pedas akan lebih menyelerakan jika dihidangkan bersama nasi putih panas.
Bahan-Bahan
– 6 biji bawang merah
– 4 ulas bawang putih
– 1 inci halia
– 10 biji cili kering (buang biji, rendam air panas & cuka)
– 8 sudu besar minyak sayuran
– 1 sudu besar belacan bakar
– 2 cm lengkuas
– 1 batang serai
– 1 kuntum bunga lawang
– 1 batang kayu manis
– 4 helai daun limau purut
– 30 g pes asam jawa
– ½ liter air suam
– ½ cawan daun kesum
– 1 kuntum bunga kantan
– 500g – 700g ikan berdaging pejal bertulang (ikan pari, ikan merah) — hiris 4cm
– 6 – 8 batang bendi (belah dua)
– 2 biji tomato (belah empat)
– Garam secukup rasa
– Nasi putih (untuk dihidang)