SATU video tular yang telah menerima tontonan sebanyak lebih dari 50,000 kali menunjukkan seekor ikan yang dibekukan di dalam ais di salah sebuah pasar ikan di Jepun, kemudiannya kelihatan hidup semula semasa diletakkan di dalam tab air panas.
Video tersebut bermula dengan ikan itu direndamkan di dalam tong yang dipenuhi dengan ais hancur dan kemudian diuji suhunya dengan menggunakan termometer yang menunjukkan bahawa suhu di dalam tong itu adalah -2.10 darjah Celcius. Seorang lelaki kemudian mengambil ikan itu, yang pada ketika itu kelihatan beku, dan kemudian menyerahkannya kepada seorang lelaki yang memakai sut hitam dan meletakkan ikan tersebut ke dalam besen plastik yang dipenuhi dengan air panas.
Video itu kemudian terpotong, namun pada kali ini, lelaki yang sama terlihat memegang erat ikan itu melalui ekornya dan cuba menggerakkannya di bawah aliran air hangat itu. Tidak lama kemudian ikan tersebut pun bergerak. Kecohan kekaguman dan gelak ketawa jelas kedengaran daripada orang ramai yang menyaksikan ‘keajaiban’ itu, sebelum video tersebut terpotong lagi sekali, menunjukkan ikan itu membuat libasan ekornya di sekitar air panas, untuk membuktikan bahawa pergerakannya itu bukan hanya spasma saraf yang tidak disengaja.
Video tersebut dimuat naik ke laman Facebook, Pro Fishing Videos, baru-baru ini dan telah ditonton lebih 50,000 kali. Maklum balas yang diterima bercampur baur, dengan beberapa orang mengulas video itu meluahkan rasa kagum mereka dan mula bertanyakan soalan seperti “sihir apakah ini,” manakala yang lain pula melabelnya sebagai satu kekejaman haiwan atau hanya rekaan semata-mata, oleh kerana video tersebut terlalu banyak potongan.
Jadi apakah yang sebenarnya berlaku di sini, adakah orang-orang ini benar-benar membawa ikan itu kembali hidup semula atau hanyalah satu rekaan cerita palsu yang telah menjadi tular? Ianya sukar untuk diungkapkan dan masih belum pasti atas kesahihan video tersebut. – Agensi


