Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan betutu pemangsa bersifat nokturnal

    Oleh Raz AS

    Ikan Betutu (Oxyeleotris marmorata) atau juga dikenali sebagai Marble Goby dalam Bahasa Inggerisnya adalah spesies ikan daripada keluarga Butidae yang menghuni perairan air tawar dan bahal (brackish water).

    Spesies yang boleh didapati di negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia dan Brunei ini merupakan spesies terbesar ikan goboid yang boleh mencecah sehingga 65sm panjang.

    Habitat ikan Betutu adalah kawasan sungai dan paya yang tidak atau kurang berarus. Ikan yang menerima julukan sebagai ‘ikan pemalas’ ini merupakan ikan pemangsa yang bersifat nokturnal, iaitu hanya aktif pada waktu malam.

    Pada siang hari ikan Betutu selalunya akan bersembunyi di sebalik kayu-kayan atau membenamkan separuh badannya ke dalam tanah dan tidak banyak bergerak selain untuk menyerang hendap mangsa yang lalu di hadapannya.

    Disebabkan badannya yang berwarna coklat berceloreng, ikan Betutu sangat pandai menyembunyikan diri daripada mangsanya dan kelihatan seperti kayu jika tidak bergerak-gerak.

    Meskipun disifatkan sebagai pemalas, ikan karnivor ini sangat agresif dan bersifat territorial, ia akan menyerang dan memakan apa sahaja jenis ikan yang dapat muat ke dalam mulutnya yang besar itu.

    Kerana nilainya yang mahal di pasaran dan dikatakan mempunyai rasa yang enak dengan tekstur isi yang lembut, ikan Betutu sangat popular dicari oleh kalangan pemancing dan nelayan. Sesetengah negara telah menternak ikan ini untuk dikomersialkan. Namun begitu ikan ini telah diklasifikasikan sebagai spesies ikan yang berisiko terancam oleh International Union for Conservation of Nature(IUCN).

    Selain itu, ikan Betutu juga popular di kalangan penggemar ikan hiasan, jika anda berminat untuk memelihara ikan ini disyorkan untuk menggunakan akuarium bersaiz 5 kaki ke atas dengan tahap keasidan air 6.5-7 pH dan suhu 22 hingga 28 darjah Celsius.

    Meskipun disifatkan sebagai pemalas, ikan karnivor ini sangat agresif dan bersifat territorial.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda