Monday, February 26, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Ikan budu lauk pilihan musim tengkujuh

    KOTA BHARU – Selain putu halba, ikan darat dan ubi ‘tonyoh’, ikan budu menjadi antara sajian pilihan penduduk Kelantan pada musim tengkujuh atau monsun timur laut ini.

    Walaupun aroma ikan budu yang diperam antara enam hingga lapan bulan sangat kuat dan kurang menyenangkan, ia dianggap lauk yang cukup menyelerakan bagi penggemarnya.

    Peniaga di Pasar Siti Khadijah, Rahmah Jaafar, 64, berkata sejak minggu lepas permintaan terhadap makanan bermusim itu meningkat sekali ganda.

    “Dalam beberapa hari ini, ramai pelanggan yang datang mencari ikan budu, jadi saya tambah stok jualan sekali ganda iaitu kira-kira 30 bungkus sejak semalam.

    “Memang setiap tahun bila musim banjir pelanggan akan beli dua atau tiga bungkus terus dan jualan kita cepat habis berbanding di luar musim monsun,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

    Siti Khadijah Rahmah Jaafar, menunjukkan ikan budu ketika tinjauan media. – Bernama

    Rahmah yang berniaga di pasar itu sejak 38 tahun lepas berkata bekalan diperoleh dari Pengkalan Kubor, Tumpat dan dijual pada harga antara RM5 hingga RM10 sebungkus bagi ikan budu kembung.

    Seorang lagi peniaga, Husin Musa, 59, dari Kampung Suri, Tumpat berkata ikan budu menjadi pilihan pelanggan kerana produk itu mampu bertahan hingga berbulan-bulan.

    “Pada musim tengkujuh biasanya ikan segar agak mahal atau sukar diperoleh, jadi penduduk menjadikan ikan budu sebagai alternatif selain ia sangat menjimatkan untuk dijadikan lauk bagi keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

    Pelanggan, Amran Sidek, 46, berkata dia sentiasa menyimpan stok ikan budu sebagai persediaan setiap kali musim tengkujuh.

    Bapa kepada enam anak itu berkata ikan budu yang digoreng bersama telur, bawang besar dan sedikit cili merupakan hidangan kegemaran mereka sekeluarga.

    “Untuk beli ikan budu, kita kena pandai pilih kerana ikan budu yang terlampau masin atau diperap dalam tempoh yang agak lama kurang enak dimakan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan tetapkan Khamis hari terakhir doktor mogok kembali bekerja

    SEOUL, 26 FEB - Kerajaan Korea Selatan memberi doktor muda yang mogok empat hari untuk melaporkan diri ke tempat kerja, dengan berkata hari ini...