Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan buntal harimau tarikan pelancong Fukushima

    SOMA, JEPUN – Ikan buntal yang memenuhi jaring di Fukushima adalah satu hidangan istimewa yang boleh membawa maut jika tidak disediakan dengan betul.

    Namun, bagi masyarakat yang terjejas akibat bencana nuklear pada tahun 2011, ikan itu juga memberi harapan kepada kehidupan mereka.

    Sepanjang 12 tahun sejak kejadian peleburan nuklear di loji Fukushima Daiichi akibat tsunami di kawasan timur laut Jepun, ‘tiada banyak berita baik yang diterima’, kata nelayan Masahiro Ishibashi kepada AFP.

    Koperasi yang dimilikinya berdepan sekatan ketat dalam penangkapan ikan dan pengguna-pengguna telah mengelakkan produk dari kawasan itu disebabkan kebimbangan pencemaran radiasi.

    Dan semasa pengendali loji bersedia melepaskan air sisa yang dirawat untuk menyingkirkan unsur-unsur radioaktif ke dalam laut, komuniti nelayan bimbang ia akan menjejaskan reputasi mereka.

    Yoshimasa Kanno, operator Hotel Minatoya, menyediakan ikan buntal di hotel di bandar Soma, wilayah Fukushima, Jepun. – AFP
    Pekerja memindah ikan buntal harimau di Pelabuhan Nelayan Matsukawaura di bandar Soma, wilayah Fukushima, Jepun. – AFP

    Kakitangan bersedia untuk pelelongan ikan di Pelabuhan Nelayan Matsukawaura di bandar Soma, Jepun. – AFP

    Jadi apabila ikan buntal harimau – varieti mahal daripada ikan buntal terkenal ‘fugu’ – mula muncul dalam tangkapan mereka, mereka melihat adanya peluang. Fugu sering disajikan mentah di restoran-restoran mewah di Jepun, di mana tukang masak perlu memiliki lesen yang membuktikan mereka dapat memotong organ-organ yang mengandungi racun dengan selamat.

    Kini, setiap pagi di pelabuhan Matsukawaura, 50 kilometer di utara Fukushima Daiichi, kru-kru bot memunggah baldi-baldi yang penuh dengan ikan buntal harimau berlemak dan berbintik gelap kepada ahli keluarga yang menunggu.

    Bagi Ishibashi yang berusia 43 tahun, ikan yang dipasarkan sebagai ‘fukutora’ – bermaksud ‘harimau bertuah’ – memang setanding dengan namanya yang popular.

    “Kami sedang menangkap spesies menarik dan baharu, yang menerima tumpuan daripada pengguna. Kami boleh membuktikan bahawa ikan dari Fukushima adalah selamat dan sedap,” ujarnya.

    Lima tahun lalu, tidak banyak ikan buntal harimau yang ditangkap di luar Fukushima, tetapi pihak berkuasa tempatan berkata suhu air yang lebih panas daripada biasa mungkin telah membantu spesies itu hidup dan membiak.

    Bagaimanapun, tangkapan yang meningkat, kebanyakannya disebabkan penggunaan teknik rawai yang dipelajari daripada nelayan fugu di barat daya Yamaguchi, telah membantu industri penangkapan ikan itu membawa masuk hampir tiga tan ikan buntal harimau pada 2019.

    Angka tersebut meningkat 10 kali ganda pada 2022, selepas sekatan rasmi ke atas penangkapan ikan dibatalkan susulan ujian radiasi secara meluas.

    Namun timbulnya kebimbangan baharu untuk komuniti ketika operator Fukushima Daiichi bersedia untuk melepaskan air buangan yang telah dirawat ke dalam laut pada tahun ini.

    Lebih satu juta tan air yang dirawat disimpan dalam tangki di loji, di mana tsunami dicetuskan oleh gempa bumi pada 11 Mac 2011, membawa kepada kemalangan nuklear paling teruk di dunia sejak Chernobyl.

    Cecair itu merupakan kombinasi air bawah tanah yang tercemar, air laut, air hujan dan air yang digunakan sebagai penyejuk di loji, semuanya ditapis untuk membuang pelbagai elemen radioaktif.

    Ruang simpanan untuk air sudah kehabisan, dan Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA) telah menyokong pelan pelepasan itu. Air tersebut masih mengandungi bahan radioaktif tritium, tetapi pada paras yang dikatakan selamat oleh kerajaan, pegawai loji dan IAEA, kerana ia akan dicairkan sebelum dilepaskan selama beberapa dekad menerusi paip sepanjang satu kilometer.

    Pasukan petugas IAEA akan memantau pelepasan ‘sehingga kami betul-betul pasti ia selesai seperti yang dijangkakan, sejajar dengan standard keselamatan IAEA,” kata Pengerusi Pasukan Petugas, Gustavo Caruso pada Januari.

    Operator loji TEPCO juga telah memulakan percubaan untuk menyimpan ikan dalam air bertapis untuk membuktikan keselamatan ikan tersebut.

    Namun, negara jiran Korea Selatan dan China telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesan alam sekitar, dan Ishibashi bimbang pengguna akan berasa takut dengan insiden seperti yang berlaku sebelumnya.

    “Kami bimbang reputasi hasil keluaran kami mungkin menjadi lebih tercemar,” katanya.

    “Namun kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan pelepasan air. Kami benar-benar tidak dapat menerima hakikat ini. Kami rasa tidak terdaya dalam situasi ini.”

    Satu pengaturan rasmi yang membenarkan nelayan Fukushima belayar di perairan di luar wilayah dan sebaliknya, telah diabaikan sejak krisis.

    Atas sebab-sebab ini, selain semakin kurang nelayan yang bekerja, hasil tangkapan tahunan Matsukawaura masih kekal di bawah 20 peratus berbanding jumlah sebelum 2011.

    Walaupun peraturan ujian radiasi untuk makanan laut Fukushima telah dilonggarkan pada 2021, industri penangkapan ikan rantau masih memeriksa produk mereka, berpegang pada had lebih ketat berbanding standard negara.

    Prosedur ujian juga termasuk ikan buntal harimau baharu, yang diharapkan oleh operator hotel seperti Yoshimasa Kanno, 48, akan membantu menarik pelancong semula ke Fukushima. Kanno, juga cef makanan laut berpengalaman, berada ‘amat gembira’ dengan hasil tangkapan fugu.

    “Kami selalu menyajikan ke-tam kepiting pada musim sejuk. Tempat itu amat terkenal dengan ketam tersebut. Namun sejak bencana, nelayan belum menangkap dalam jumlah yang banyak kerana mereka tidak dapat keluar dari perairan Fukushima, beritahunya kepada AFP. Selepas membuang bahagian ikan buntal harimau yang beracun, dia akan memasak ala kadar hidangan klasik ikan goreng garing dan sashimi mentah yang dihiris nipis.

    Kanno berkata masakan istimewa itu ‘sedap rasanya dan boleh dihidangkan pada harga berpatutan.’

    Namun dia bimbang kesan sampingan daripada pelepasan air akan datang.

    “Saya risau mengenai sama ada industri perikanan di rantau ini akan kembali pulih sekiranya air dilepaskan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda