Ikan Flathead: Si penghuni muara sungai

Oleh Raz AS

Ikan Pahat-pahat atau juga dikenali sebagai Flathead dalam Bahasa Inggerisnya merupakan spesies ikan daripada keluarga Platycephalidae yang boleh didapati di perairan Indo-Pasifik termasuk di negara kita.

Ikan pahat-pahat dikenal pasti dengan rupanya yang unik. Badannya lebar, pipih dan panjang dengan kedua matanya terletak pada bahagian atas kepalanya yang memberikannya penglihatan yang baik untuk menyerang hendap mangsanya berenang di kawasan permukaan dan pertengahan air.

Ikan yang boleh membesar sehingga 3 meter panjang dengan saiz biasanya di antara 30 ke 50 sm panjang ini adalah penghuni kawasan muara sungai yang dasarnya berpasir serta di kawasan pesisir pantai.

Ikan pahat-pahat menjadikan ikan-ikan kecil dan udang sebagai diet utamanya dengan menyerang hendap mangsanya dari bawah. Ikan ini menggunakan struktur badannya yang pipih untuk bersembunyi di dalam pasir dengan warna badannya yang boleh bertukar untuk menyerupai dasar dan menyerang mangsa-mangsa yang tidak sedar akan kehadirannya.

Ikan ini mempunyai duri sengat yang terletak pada kedua-dua sisi kepalanya dan juga bahagian atas kepalanya. Meskipun sengatnya tidak berbahaya kepada nyawa manusia namun bisanya boleh mendatangkan kesakitan kepada orang yang terkena sengatannya.

Ikan pahat-pahat meskipun ia tidak popular di kalangan peminat-peminat aktiviti memancing di negara ini, namun di Australia ia dianggap sebagai salah satu buruan utama oleh pemancing-pemancing di sana, selain itu ikan ini juga popular dijadikan sebagai hidangan kerana rasanya yang enak. Selain dipancing menggunakan umpan hidup seperti udang, ikan ini juga boleh dipikat menggunakan umpan tiruan daripada jenis minnow dan softplastic.

Kelengkapan yang disyorkan untuk memburu spesies ini menggunakan umpan tiruan adalah joran spinning berkekuatan 2-4kg, 6 kaki 6 inci hingga 7 kaki panjang, spinning reel bersaiz 2000-3000 yang dilengkapi dengan tali utama yang menggunakan braided line 5-10lb dan perambut fluorocarbon 10-15lb. Manakala umpan tiruannya berukuran 2.5 inci ke 4 inci panjang daripada jenis minnow, untuk softplastic pula boleh menggunakan jenis paddle tail dan curly tail atau yang menyerupai udang.

Antara teknik retrieve yang popular digunakan pula adalah; teknik slow roll, di mana gulungan berterusan dilakukan dengan perlahan. Teknik ‘burn and kill’, gulungan dilakukan sebanyak tiga ke empat kali gulungan sebelum berhenti seketika beberapa saat. Disyorkan juga untuk menggunakan jighead yang berat agar umpan sentiasa mencecah dasar apabila gulungan dihentikan.

Akhir sekali adalah teknik yang paling popular iaitu teknik hopping di mana hujung joran diangkat sebanyak dua kali dengan cepat (double hop) setelah umpan mula-mula mencecah dasar, tali hanya digulung sedikit setelah umpan mencecah dasar agar tidak kendur sebelum double hop dilakukan kembali.

Ikan ini menggunakan struktur badannya yang pipih untuk bersembunyi di dalam pasir dengan warna badannya yang boleh bertukar untuk menyerupai dasar.
Ikan pahat-pahat sangat terkenal sebagai buruan penggemar aktiviti memancing di Australia.