Saturday, December 28, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan hidup umpan terbaik buru pemangsa besar

    Oleh Raz AS

    Selain menggunakan umpan udang, anak ikan atau ikan kecil merupakan umpan terbaik digunakan untuk memikat buruan pemancing daripada spesies pemangsa, terutama yang bersaiz besar.

    Antara ikan-ikan kecil yang popular dijadikan umpan adalah seperti ikan kembura atau belanak, tamban, basong-basong, aur-aur dan sebagainya.

    Tidak seperti udang, badan ikan yang licin diselaputi bendalir selalunya menyukarkan pemancing untuk mencangkukkan mata kail padanya.

    Walau bagaimanapun, dengan sedikit latihan dan panduan, ikan hidup yang dicangkuk dengan berhati-hati dengan cara yang betul akan memberikan awda persembahan terbaik pada umpan yang dihulurkan untuk menumbangkan spesies idaman awda.

    Bagi tujuan teknik casting menggunakan umpan ikan hidup, tempat terbaik untuk mencangkukkan mata kail adalah pada bahagian kepalanya. Mata kail seharusnya dicangkukkan dari arah bawah melalui bibir bawah ikan dan ditembuskan ke atas. Posisi mata kail ini akan membolehkan ikan tersebut bergerak dengan lebih semula jadi.

    Mencangkuk ikan hidup pada bahagian kepala sesuai digunakan bersama teknik casting.
    Anak ikan atau ikan kecil merupakan umpan terbaik untuk memikat spesies pemangsa terutama yang bersaiz besar.

    Sementara itu, bagi tujuan pancingan dasar pula, mata kail bolehlah dicangkuk di bahagian tengah atas badannya berdekatan tulang belakang ikan. Ini akan membolehkan umpan ikan awda hidup dengan lebih lama selagi mana mata kail tersebut tidak terkena atau mencederakan tulang belakang ikan.

    Bagi tujuan teknik menghanyut atau berpelampung, tempat terbaik adalah di bahagian ekor. Posisi ini membolehkan umpan ikan awda berenang dengan lebih bebas.

    Bagi penulis, apabila umpan ikan yang digunakan terlalu aktif berenang sehingga menyebabkan pancing tersangkut di kawasan reba, tiang atau seumpamanya, penulis selalunya akan memotongkan sedikit hujung ekornya agar ia berenang lebih perlahan.

    Tambahan lagi, mengikut pendapat penulis, umpan ikan yang bergerak seakan-akan tercedera lebih mudah memikat ikan-ikan pemangsa, terutama ketika ia kurang aktif atau bersifat oportunis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda