Ikan lumba-lumba merah jambu, ikonik HK

HONG KONG – Ikan lumba-lumba merah jambu yang jarang ditemui sedang kembali ke perairan di antara Hong Kong (HK) dan Macau selepas pandemik koronavirus menghentikan perkhidmatan feri, tetapi saintis masih berasa amat bimbang mengenai kewujudan jangka panjang mamalia itu di salah satu laluan laut paling sibuk di dunia.

Kisah ikan lumba-lumba merah jambu yang melompat dari perairan membawa Naomi Brennan kepada penemuan ikan lumba-lumba putih China tempatan dan beliau mencatat lokasi haiwan tersebut dalam peranti GPS.

Penyokong pemuliharaan seperti Brennan sering menaiki bot di Delta Sungai Pearl untuk mendokumenkan keadaan mamalia itu, terkenal dengan warna merah muda yang menarik perhatian.

“Hari ini, kami menemui tiga kumpulan ikan lumba-lumba berlainan – enam dewasa dan dua anak,” jelasnya. “Ia terbabit dalam pelbagai tingkah laku, daripada makan kepada perjalanan dan interaksi.”

Mengawasi dan memantau ikan lumba-lumba bertahun-tahun lamanya telah menjadi satu tugas yang mengecewakan. Jumlah haiwan ini telah merosot sebanyak 70 hingga 80 peratus dalam tempoh 15 tahun lalu di salah satu muara perindustrian yang berkembang paling pesat di dunia.

Sebuah perahu menghampiri ikan lumba-lumba. -AFP
Seorang pelajar melihat peta untuk menjejaki keberadaan ikan lumba-lumba merah jambu. – AFP
Gambar fail bertarikh 17 Mac 2012 menunjukkan seekor ikan lumba-lumba putih atau dikenali sebagai ikan lumba-lumba merah jambu berenang di perairan Hong Kong. – AFP
Kelihatan orang ramai melihat keberadaan ikan lumba-lumba di perairan Hong Kong. – AFP
Kelihatan Shun Tak Centre, di mana perkhidmatan feri antara Hong Kong dan Macau beroperasi. – AFP

Namun jumlahnya pada tahun ini telah kembali meningkat – dan ia disebabkan pandemik.

Feri di antara Hong Kong dan Macau telah digantung sejak Februari, menyediakan saintis marin tempatan satu peluang untuk mengkaji bagaimana mamalia tersebut telah menyesuaikan diri dengan ‘keadaan yang sunyi itu.’

“Kami melihat saiz kumpulan yang jauh lebih besar serta interaksi yang lebih, tingkah laku pengawanan, yang belum kami lihat sejak lima tahun lalu,” kata Dr Lindsay Porter, saintis marin yang berpangkalan di Hong Kong.

Menurut kumpulan penyelidikan Porter, jumlah ikan lumba-lumba merah jambu telah meningkat sebanyak satu pertiga di perairan itu sejak Mac.

“Kawasan berkenaan nampaknya penting untuk mencari makan dan berinteraksi. Maka gembira rasanya kerana terdapat tempat perlindungan ini untuk ikan lumba-lumba ini,” tambah Brennan, seorang anggota kumpulan Porter.

Delta Sungai Pearl ialah salah satu kawasan pantai paling maju di bumi. Selain Hong Kong dan Macau, ia termasuk bandar besar China seperti Shenzhen, Guangzhou dan Dongguan, dan menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 22 juta orang.

Di samping lalu lintas perkapalan yang sibuk, habitat utama ikan lumba-lumba terdedah kepada pelbagai pembangunan besar-besaran, termasuk pembinaan lapangan terbang Hong Kong di tanah yang ditebus guna dan jambatan laut paling panjang di dunia yang menghubungkan hab kewangan ke Macau dan Zhuhai. Satu projek penebusgunaan baharu juga telah dirancang untuk membina landasan ketiga untuk lapangan terbang bandar itu.

Menurut WWF, hanya terdapat kira-kira 2,000 ikan lumba-lumba merah jambu yang tinggal di Delta Sungai Pearl – jumlah minimum yang dipercayai penyokong pemuliharaan diperlukan untuk mengekalkan spesies itu.

Timbulnya kebimbangan ikan lumba-lumba di delta itu mungkin pupus di bawah trajektori jumlah sekarang.

“Ikan lumba-lumba, terutamanya ikan lumba-lumba muara ini, mempunyai kadar kelahiran, pembesaran, pembiakan yang perlahan,” kata Laurence McCook, ketua pemuliharaan laut di WWF-Hong Kong.

“Jadi ia memerlukan pengurusan yang amat teliti.”

Kekurangan feri merupakan satu kelegaan yang dialu-alukan untuk ikan lumba-lumba. Bunyi dari kapal mengganggu haiwan mamalia itu yang bergantung pada bunyi di bawah permukaan air untuk pergerakan dan komunikasi. Kapal juga menimbulkan risiko melanggar haiwan itu, yang boleh mencederakan malah membunuh mereka.

Pinggir laut di selatan pulau Lantau di pedalaman Hong Kong memberikan perlindungan dari taufan dan pemangsa untuk ikan lumba-lumba.

Namun ia juga di mana feri di antara Macau dan hab kewangan berulang-alik. Penyokong pemuliharaan sedang berkempen untuk meluaskan sebuah taman marin untuk melindungi spesies haiwan itu dengan lebih baik.

“Kami telah mengenal pasti satu habitat yang boleh ditebus guna oleh mamalia ini dan digunakan untuk menyokong populasinya,” kata Brennan, yang percaya hasil dapatan terbaharu mungkin memberikan peluang kepada penyokong pemuliharaan untuk ‘mengubah keadaan’ untuk populasi ikan lumba-lumba.

“Disebabkan kami telah melihat perubahan dramatik berkenaan, walaupun masih awal, untuk salah satu impak berkenaan dihapuskan benar-benar merupakan satu peralihan positif.” Namun McCook mengingatkan masa sudah kesuntukan untuk ikan lumba-lumba.

“Haiwan ini merupakan satu ikon di kawasan tersebut,” kata beliau. “Ia membentuk sebahagian warisan Kantonis dan telah wujud di kawasan ini selama satu milenia.Ia akan menjadi tragedi global sekiranya berlaku kepupusan makhluk ikonik ini dari kawasan Teluk Besar pada masa depan.” – AFP